Lapan beranak bermalam dalam lori setelah rumah dinaiki air

Lori tiga tan yang menjadi tempat lapan sekeluarga bermalam selepas rumah mereka di Kampung Belimbing di Durian Tunggal ditenggelami air.
Lori tiga tan yang menjadi tempat lapan sekeluarga bermalam selepas rumah mereka di Kampung Belimbing di Durian Tunggal ditenggelami air.
A
A
A

MELAKA - Gara-gara khemah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tidak cukup besar membuatkan lapan sekeluarga yang rumah mereka ditenggelami banjir di Kampung Belimbing, Durian Tunggal di sini terpaksa memilih untuk bermalam di dalam lori.

Zakaria Naim, 60, berkata, dia, isteri, tiga cucu dan tiga anak-anaknya tidak mempunyai pilihan sehingga terpaksa bermalam di dalam lori milik majikan menantunya apabila rumah mereka ditenggelami banjir setinggi 0.6 meter.

Menurutnya, khemah disediakan di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam hanya mampu memuatkan untuk empat orang mangsa sahaja bagi setiap keluarga.

"Walaupun tidak selesa kami terpaksa tidur di dalam lori, kami tiada pilihan, kerana khemah di pusat pemindahan tidak cukup besar membuatkan kami lapan beranak terpaksa bermalam dalam lori tiga tan sejak semalam kerana rumah habis ditenggelami banjir.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada majikan menantu yang bekerja sebagai pemandu lori kerana membenarkan lori berkenaan dijadikan tempat mereka berteduh," katanya ketika ditemui di pekarangan rumahnya, di sini semalam.

Zakaria berkata, selain untuk bermalam, lori berkenaan juga dijadikan untuk mendirikan solat dan menyimpan barangan berharga sementara air surut.

"Saya harap, isu masalah banjir yang sudah berlarutan di sini sejak 1970-an dapat segera diatasi kerajaan negeri.

"Kalau boleh, kami mahu cepat berpindah dari tanah rizab kereta api ini dan ditawarkan untuk membeli rumah rakyat bersesuaian dengan pendapatan kami," katanya.

Artikel Berkaitan: