Dua maut nahas Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu

Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Dua maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Kampung Jawa di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.55 pagi itu, kereta jenis Nissan Sentra yang dipandu remaja berusia 18 tahun dari arah Batu Maung dikatakan melanggar lampu isyarat yang sedang berwarna merah dan merempuh sebuah lori yang datang dari arah Georgetown dan membelok ke arah Kampung Jawa.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Vicknesh Ghana Murty, 18, dari Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan rakannya, Gan Yong Qi, 21, dari Batu Maung manakala dua lagi rakan mereka yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan patah kaki dan tangan.

Bahagian depan kereta mangsa remuk teruk selepas merempuh lori.
Bahagian depan kereta mangsa remuk teruk selepas merempuh lori.

Menurutnya, pemandu lori yang terlibat dengan kejadian itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dua mangsa yang parah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik HPP untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: