Terlalu selesa buat gawang Selangor bolos

Sathianathan - Foto stadiumastro
Sathianathan - Foto stadiumastro
A
A
A

MARAN - Berasa selesa selepas mendahului menyebabkan Selangor dikejutkan dengan jaringan lawan, Felda United, pada saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak di sini, semalam.

Ketua Jurulatih Selangor, B Satiananthan berkata Felda United juga bijak menggunakan peluang daripada kealpaan itu sehingga menyebabkan pertahanan The Red Giants goyah dengan serangan balas mereka.

“Pemain sepatutnya tampilkan persembahan yang mudah kerana kita telah mendahului 2-0, sebaliknya mereka mahu bermain secara cantik di kawasan padat.

“Corak permainan begitu membawa kepada serangan balas lawan dan akhirnya Felda United mendapat banyak sepakan percuma dan sepakan sudut.

“Kita pula kerap kehilangan bola di bahagian pertahanan lawan sehingga mereka bangkit melakukan serangan balas dan berjaya mendapat gol," katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Selangor mengalahkan Felda United 2-1.

Selangor membuka tirai jaringan menerusi Sandro Da Silva pada minit ke-44 sebelum penyerang import Ifedayo Olusegun melebarkan jurang gol kurang 10 minit kemudian.

Pada minit ke-63, The Fighters bangkit mencipta gol pertama menerusi tendangan cantik Jocinei Schad yang berjaya mengelirukan penjaga gol Mohd Khairulazhan Khalid.

Artikel Berkaitan:

Satiananthan berkata keupayaan pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil membaca dengan baik percaturan Selangor juga menggoyahkan benteng pertahanan mereka walaupun mengawal 30 minit permainan.

Sementara itu, Mohd Nidzam mengakui pasukannya wajib mengurangkan kesilapan 'kebudak-budakan' yang memberi kelebihan kepada The Red Giant mencipta jaringan.

"Mengeluarkan bola dari kawasan bahaya ialah perkara asas yang perlu dilakukan pemain sebaliknya mereka dilihat lebih gemar bermain secara dekat-dekat.

"Kita perlu ubah corak permainan ini kerana tidak akan selalu bernasib baik seperti bertemu Kedah sebelum ini yang menyaksikan pasukan kami bangkit selepas ketinggalan separuh masa pertama," katanya.

Mohd Nidzam berkata kekalahan semalam menyebabkan The Fighters tidak boleh lagi kehilangan mata bagi empat perlawanan seterusnya sekiranya mahu ingin kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.- Bernama