Ribut di Felda Soeharto: Jabatan Amal Malaysia hulur bantuan

Anggota Jabatan Amal Malaysia Hulu Selangor membantu mengalih dan mengemas bumbung sekolah yang tercabut akibat ribut di Felda Soeharto pada Jumaat lalu.
Anggota Jabatan Amal Malaysia Hulu Selangor membantu mengalih dan mengemas bumbung sekolah yang tercabut akibat ribut di Felda Soeharto pada Jumaat lalu.
A
A
A

HULU SELANGOR - Jabatan Amal Malaysia antara pasukan yang menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas dengan membersihkan kesan pokok tumbang akibat ribut di Felda Soeharto.

Komandan Jabatan Amal Malaysia Hulu Selangor, Normasrizal Adabi berkata, selain di Felda Soeharto, angin kuat turut mengakibatkan sebatang pokok tumbang menghempap bahagian belakang sebuah kereta di Kampung Sungai Buaya.

Menurutnya, kerja pembersihan dilakukan 10 anggota di kedua-dua lokasi kejadian ribut.

"Di Felda Soeharto, anggota memotong dan membersihkan pokok tumbang yang menghalang laluan masuk rumah didiami seorang warga emas.

"Kerja pembersihan turut dilakukan di beberapa rumah penduduk yang terjejas bagi meringankan beban mangsa.

"Selain di kawasan rumah, pokok tumbang juga berlaku di tepi sekolah dan anggota membantu guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Soeharto mengalihkan bumbung yang tercabut akibat ribut," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu Pegawai Daerah Hulu Selangor, Musa Ranli berkata, sehingga semalam seramai 130 rumah dilaporkan terjejas dalam kejadian jam 5.30 petang Jumaat

Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 21 rumah mengalamai kerosakaan teruk dan empat keluarga ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Semai Bakti Felda Soeharto.

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika melawat mangsa semalam memaklumkan bahawa Tabung Bencana Daerah akan menyalurkan bantuan segera sebanyak RM500 kepada setiap keluarga selewat-lewatnya Isnin ini.