Luluh hati anak lihat bapa terbaring kaku

Abdul Rahim ditemukan meninggal dunia di hadapan bilik air rumah berkenaan.
Abdul Rahim ditemukan meninggal dunia di hadapan bilik air rumah berkenaan.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Luluh hati seorang anak apabila melihat bapanya terbaring tidak bernyawa di hadapan bilik air sebuah rumah di Jalan Anggerik, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mayat Abdul Rahim Samsuri, 47, ditemukan anaknya, Nur Farha Rahiza, 17, yang ketika itu datang menghantar makanan ke rumah berkenaan.

Bekas isteri Abdul Rahim, Zarahayati Mohamed Som, 52, berkata, dia dimaklumkan tentang kematian Abdul Rahim selepas Nur Farha menangis memaklumkan kejadian berkenaan.

"Saya terkejut sejurus Nur Farha masuk ke rumah dia menangis teresak-esak memberitahu ayahnya dah meninggal dunia.

"Nur Farha biasanya menghantar makanan ke rumah bekas suami sejak kami berpisah pada April lalu," katanya.

Zarahayati berkata, dia yang bekerja sebagai pembantu kedai makan tinggal menyewa berhampiran rumah bekas suami.

Ujarnya, sepanjang hayatnya, Abdul Rahim amat menyayangi kedua-dua anak mereka dan sering bertanya khabar.

"Walaupun, kami dah berpisah arwah jalankan tanggungjawabnya sebagai bapa yang baik, malah saya juga ambil berat soal makan dan minum arwah yang tinggal bersendirian.

Artikel Berkaitan:

"Setiap pagi saya akan letak makanan di depan pintu rumah dan sebelah petang pula makanan dihantar Nur Farha," katanya.

Katanya, arwah suaminya sebelum ini menghidap masalah jantung selain pernah diserang strok pada Jun lalu.

Difahamkan jenazah dikebumikan kira-kira jam 10 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan Sungai Besar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, polis menerima panggilan berhubung kematian pada jam 6.30 petang.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.