UMNO Selangor akan wujudkan Majlis Musyawarah

Mat Nadzari
Mat Nadzari
A
A
A

SHAH ALAM - Satu Majlis Musyawarah akan diwujudkan dengan melibatkan bekas pemimpin UMNO dan BN Selangor; pemimpin Pas Selangor, kumpulan belia serta NGO.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, peranan Majlis Musyawarah adalah bagi menggarap setiap maklum balas dan isu berkaitan sebelum dibawa ke mesyuarat perhubungan.

"UMNO & BN Selangor juga akan mengadakan Konvensyen dalam masa terdekat bagi kami mencari formula terbaik untuk menarik semula sokongan rakyat," katanya melalui kenyataan media.

Mat Nadzari berkata, pada Pilihanraya Umum Ke 14 (PRU14) lalu jumlah undi popular yang diterima BN adalah 450,742 undi daripada jumlah keseluruhan pengundi di Selangor seramai 2,415,074 pengundi (jumlah keluar mengundi 2,074,891).

"Pas pula menerima 296,250 undi. Jika undi BN & Pas digabungkan sudah pasti jumlah kerusi yang dimenangi PH pada PRU lalu lebih berkurangan berbanding sekarang.

"Kita tidak akan terus berangan-angan dengan angka-angka berkenaan tetapi akan terus memandang ke hadapan untuk bekerja dan berkhidmat dengan lebih berkesan melalui 22 bahagian di seluruh Selangor," katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah permulaan, UMNO Selangor akan meneruskan agenda ‘Perpaduan Ummah’ bersama Pas di setiap bahagian dan kawasan bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu / Islam serta agenda perjuangan diperkasa.

"Seterusnya UMNO Selangor akan duduk semeja bersama rakan komponen BN negeri serta beberapa lagi rakan strategik seperti NGO dan kumpulan pendesak untuk mencerap dan merangka hala tuju menjelang PRU ke-15," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berasingan beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan terutamanya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan atas pelantikannya untuk menerajui UMNO Selangor.

"Ia bukan satu jawatan untuk dibanggakan tetapi ia merupakan amanah dan tanggungjawab besar untuk berusaha mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO & BN Selangor.

"Saya mengalu-alukan sebarang pandangan dan kritikan daripada rakan-rakan saya dalam UMNO, BN, Pas dan NGO untuk tugas yang mencabar ini," katanya.