TPM gesa pusat hemodialisis kendalian NGO ikut peraturan ditetapkan

Dr Wan Azizah bersalaman dengan warga emas, Tan An Nya,81, yang melakukan hemodialisis pada lawatan di Pertubuhan Hemodialisis Seberang Perai Selatan hari ini. -Foto Bernama
A
A

BUKIT MERTAJAM - Pusat hemodialisis swasta diminta mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk mempunyai seorang pakar nefrologi bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku semasa pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebelum ini, pusat dialisis tidak diwajibkan menempatkan seorang pakar tetapi susulan kekurangan kemudahan dan perkhidmatan, maka kerajaan mengetatkan peraturan untuk pihak swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan pusat berkenaan.

"Dulunya memang tidak memerlukan seorang pakar, namun kita ada insiden pusat dialisis tidak mematuhi peraturan. Ada sedikit kekurangan dari segi perkhidmatan. Sebab itu kita terpaksa mengetatkan peraturan-peraturan untuk menubuhkan pusat dialisis," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ringkas semasa melawat pusat hemodialisis, Pertubuhan Hemodialisis Seberang Perai Selatan, Simpang Ampat, yang sudah beroperasi selama 21 tahun itu, dekat sini, hari ini.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, meluangkan masa hampir sejam melawat bangunan tiga tingkat itu sambil beramah mesra dengan kakitangan dan pesakit di situ.

Sementara itu, pengasas pertubuhan itu, Goh Kheng Huat, berkata ini, Dr Wan Azizah merasmikan pusat hemodialisis berkenan ketika menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh dua dekad lalu.

Menurutnya, penubuhan pusat hemodialisis itu adalah untuk membantu pesakit miskin yang tidak berkemampuan bagi mendapatkan rawatan dan setakat ini sebanyak 46 pesakit menerima rawatan secara percuma di situ. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia