'Cik B tak sanggup tengok mama menangis setiap malam...'

Cik B ketika ditanya pemberita selepas menyerahkan wang RM100,000 kepada ibunya secara spontan di sini hari ini.
Cik B ketika ditanya pemberita selepas menyerahkan wang RM100,000 kepada ibunya secara spontan di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - "Kalau bantu mama Insya-ALLAH dapat lagi, sebab sedih tengok apa yang jadi kat mama walaupun Cik B macam susah sedih tapi rasa sedih itu ada," demikian luahan anak jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, 14, yang membuat kejutan menyerahkan wang tunai sebanyak RM100,000 kepada ibunya bagi menyelesaikan kemelut dengan penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin.

Menurut Nur Edlynn atau lebih dikenali dengan nama Cik B, dia tidak sanggup melihat ibunya yang mesra dipanggil Datuk Seri Vida menangis setiap malam berikutan kontroversi antaranya dengan Aishah yang merupakan peserta Gegar Vaganza musim keempat.

"Cik B nampak mama seorang yang kuat tetapi bila dia menangis kita pun nak nangis. Jarang tengok mama menangis macam tu dan ia betul-betul berat bagi mama.

"Kerana itu Cik B beri duit hasil jualan produk Salmon Skin yang diperoleh daripada ejen Singapura dan Malaysia kepada mama untuk bayar kepada Aishah," katanya kepada pemberita selepas sidang media Vida, di kediamannya di sini, hari ini.

Sementara itu, Vida secara rasminya menyatakan permohonan maaf secara terbuka seperti yang termaktub dalam keputusan bersama ketika sesi mediasi di Mahkamah Sesyen Sivil 11 Kuala Lumpur 1 Julai lalu.

Vida ketika sidang media permohonan maaf secara rasmi terhadap Aishah, di sini hari ini.
Vida ketika sidang media permohonan maaf secara rasmi terhadap Aishah, di sini hari ini.

"Saya, Datuk Seri Vida memohon maaf secara terbuka kepada Wan Aishah Wan Ariffin melalui representasi salah terhadap hadiah barang kemas tambahan Gegar Vaganza 4.

"Saya telah memenuhi tiga permintaan dari pihak sana dan terlaksanalah tanggungjawab saya dan semoga apa yang saya buat ini memberi kegembiraan kepada mereka yang menerima dan menantikan keputusan dari dahulu sampai sekarang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Vida turut menegaskan tiada istilah siapa menang dan siapa kalah dalam situasi berkenaan memandangkan kedua-dua pihak mencapai persetujuan bagi menyelesaikan masalah dihadapi melalui mediasi.

Sebelum ini, Aishah telah mengadakan sidang akhbar memaklumkan bahawa Vida akan membayar harga barang kemas yang dipilihnya berjumlah RM80,000 dan melakukan permohonan maaf secara terbuka terhadap dirinya sebelum atau pada 17 Julai ini.

Kes ini susulan kemengangan Aishah dalam program realiti Gegar Vaganza 4 yang mendakwa Vida memberi hadiah kemenangan tempat pertamanya seutas gelang palsu dan kes ini telah berlarutan selama setahun.

Menurut Vida pihaknya juga sudah menerima makluman daripada sebuah kedai emas yang dicadangkan kepada Aishah bahawa artis tersebut telah memilih lima barang kemas bernilai RM80,000.