Tun Mahathir tercabar hubungan baik UMNO, Pas

Dr Noraini
Dr Noraini
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa parti-parti Melayu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana tercabar dengan hubungan baik UMNO dan Pas.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ini kerana Bersatu merupakan parti kecil dan serpihan kepada UMNO.

“Sewajarnya Dr Mahathir membawa parti yang dipimpin menyertai UMNO. Hubungan baik UMNO dan Pas tentunya menjadi satu cabaran kepada beliau sehingga mengajak parti-parti Melayu menyertai Bersatu.

“Sedangkan Bersatu adalah parti yang kecil berbanding dengan UMNO. Mungkin Perdana Menteri terlupa bahawa beliau bukan lagi Presiden UMNO,” katanya dipetik media tempatan ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pontian di Rumah Citra Sri Pinang, Pontian hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, pelbagai isu berkaitan orang Melayu termasuk perpaduan bukan perkara baharu diberi perhatian oleh UMNO, malah perkara itu sudah diperjuangkan sejak sekian lama.

“Justeru, semua ahli parti diingatkan untuk meneruskan perjuangan, sekali gus tidak terperangkap dengan kenyataan dibuat Dr Mahathir,” katanya.

Artikel Berkaitan: