Sertai Bersatu: Amanah sambut baik pelawaan Tun M

Mujahid
Mujahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amanah menyambut baik pelawaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengajak semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai parti berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof berkata, cadangan Dr Mahathir itu sememangnya baik untuk penyatuan parti orang Melayu di negara ini.

"Kalau kita faham kenyataan itu, hari ini kita menuju Malaysia baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Lebih baik Tun M, Bersatu sertai Pas-UMNO'

"Kita tahu apa yang berlaku pada UMNO dan pemimpin-pemimpinnya. Kita juga tahu bagaimana Pas juga dalam keadaan sekarang bersama dengan UMNO yang tak boleh memberi kekuatan kepada satu dasar yang kita nak bawa bersama.

"Sebab itulah Dr Mahathir cadangkan bahawa parti-parti Melayu yang lain semua masuklah Bersatu," katanya pada sidang media program "Street Raya" masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Dr Mahathir semalam berkata, penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu negeri di Dewan Serbaguna Johor Jaya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mujahid turut mengalu-alukan UMNO dan Pas untuk menyertai parti Melayu Pakatan Harapan yang lain.

"Kitapun alu-alukan masuklah Amanah, masuklah PKR, bukan kita cakap tentang parti. Tapi kita nak supaya Melayu itu dibawa kepada taraf dan tahap dalam keadaan Malaysia baharu yang lebih dinamik, progresif.

"Parti yang lain dah tepu dengan berbagai idea yang tak maju, dengan pelbagai isu rasuah yang berlaku maka kita tak melihat Melayu ada pilihan melainkan kepada parti yang ada, iaitu Bersatu, PKR atau Amanah," katanya.