Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia tahap membimbangkan

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tiga, kanan) melihat demonstrasi oleh kakitangan Kementerian Kesihatan melakukan teknik Cardiopulmonary Resusication (CPR) pada Majlis Perasmian Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di Pantai Saujana, hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan). - Foto Bernama
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tiga, kanan) melihat demonstrasi oleh kakitangan Kementerian Kesihatan melakukan teknik Cardiopulmonary Resusication (CPR) pada Majlis Perasmian Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di Pantai Saujana, hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan). - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Penyakit Tidak Berjangkit atau lebih dikenali sebagai NCD di Malaysia berada pada tahap membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang dijalankan Kementerian Kesihatan setiap lima tahun, peratus dewasa yang mengalami diabetes meningkat dari 8.3 peratus pada tahun 1996 kepada 17.5 peratus pada 2015.

Katanya, peratus dewasa yang mengidap hipertensi pula kekal di sekitar 30 peratus dalam tempoh tersebut (1996-2015).

“Merokok dan obesiti merupakan antara faktor utama bagi kedua-dua penyakit ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) berusaha untuk memerangi peningkatan jumlah NCD di kalangan masyarakat antaranya menggabungkan program-program pengupayaan komuniti dari aspek kesihatan yang dilaksanakan

KKM seperti Komuniti Sihat Pembina Negara dan Komunikasi untuk Kesan Tingkah Behaviourial Impact termasuk program PeKa: B40 yang menjalankan saringan-saringan awal kepada penyakit-penyakit NCD,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya punca kematian rakyat negara ini sebelum ‘tempoh pramatang’ (purata 75 tahun) juga disebabkan NCD.

Dr Dzulkefly menyarankan agar orang ramai dapat membudayakan penjagaan kesihatan diri melalui pelaksanaan saringan kesihatan asas secara sukarela selain mengamalkan kehidupan yang sihat dan mengelakkan tabiat merokok.

Program Kampungku Sihat merupakan inisiatif KKM dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mencegah peningkatan penyakit tidak berjangkit atau NCD.

Inisiatif ini dilakukan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berkaitan faktor risiko bahaya NCD yang masih rendah dan membimbangkan. - Bernama