DoJ lepas tapi Malaysia tetap dakwa Riza, kata Najib

Riza berhadapan lima pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini semalam. - FOTO ZAHID IZZANI
Riza berhadapan lima pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini semalam. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengkritik kerajaan berhubung pertuduhan melibatkan anak tirinya Riza Aziz.

Menurut Najib, walaupun dakwaan telah digugurkan oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ) namun Malaysia tetap mendakwa Riza atas lima pertuduhan 'cuci' wang.

“Kerajaan PH telah dakwa anak tiri saya, Riza Aziz, di mahkamah hari ini (semalam) kerana disyaki 'cuci' wang.

ARTIKEL BERKAITAN: Riza lepas dengan jaminan RM1 juta

“Dia bukan didakwa curi wang, menyeleweng ataupun salahguna kuasa. Tetapi 'cuci' wang," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Najib berkata, lima pertuduhan itu adalah ke atas lima pindahan wang pelabur ke akaun bank syarikat filem dia iaitu Red Granite Holdings.

Menurutnya, Riza Aziz tidak pernah didakwa oleh DoJ dengan kes jenayah selepas empat tahun penyiasatan walaupun Red Granite Holdings, syarikat milik Riza berpangkalan di AS dan sebilangan transaksi berlaku di negara itu.

“Kesemua dakwaan-dakwaan itu adalah transaksi yang berlaku di luar negara dan melibatkan pelabur asing serta bank asing.

“Tidak ada satu pun transaksi berlaku dalam Malaysia. DOJ Amerika Syarikat pernah menyaman Riza dengan saman sivil lucuthak tentang lima-lima transaksi ini kerana mendakwa ada dana dari pelabur yang didakwa boleh dikesan sumbernya dari 1MDB.

Artikel Berkaitan:

“Riza tidak pernah didakwa oleh DoJ dengan kes jenayah setelah empat tahun DoJ siasat walaupun syarikat Riza itu berpangkalan di Amerika Syarikat dan sebilangan transaksi itu berlaku di Amerika Syarikat dan melibatkan bank Amerika Syarikat.

“Segala pelaburan filem ada perjanjian pelaburan masing-masing. Saya difahamkan juga sebahagian daripada dana pelaburan itu juga dipulangkan setelah projek berjaya,” jelas Najib dalam hantaran itu.

Tambah Najib lagi, kes lucuthak tersebut telah pun digugurkan oleh DoJ selepas Riza membayar sejumlah wang melalui perjanjian penyelesaian.

“Malah kes lucuthak Riza telah digugurkan oleh DoJ setelah mencapai perjanjian penyelesaian di mana Riza membayar AS$60 juta kepada DoJ.

“Difahamkan bahawa dana AS$60 juta ini juga telah dihantar oleh DoJ kepada kerajaan Malaysia dua bulan lalu, siap bergambar lagi," jelas bekas Menteri Kewangan itu.

Riza Aziz, 42, semalam mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion), hasil daripada penyelewengan 1MDB.

Riza Aziz diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin warganegara Malaysia.

Mahkamah turut memerintahkannya membayar jaminan itu semalam selain mengarahkan kesemua pasport yang dimiliki pemilik syarikat Red Granite Pictures itu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 9 Ogos untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.