Kerajaan tuntut Najib bayar RM1.69b cukai pendapatan LHDN

Najib - Foto fail
Najib - Foto fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia memfailkan saman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menuntut bekas perdana menteri itu membayar cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang masih tertunggak antara 2011 hingga 2017 lebih RM1.69 bilion.

Kerajaan selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 25 Jun lepas dengan menamakan Najib selaku defendan tunggal.

Kes berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes Isnin depan (8 Julai) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Erry Shahriman Nor Aripin.

Melalui pernyataan tuntutan yang difailkan bersama saman itu, Kerajaan mendakwa Notis Taksiran (Tambahan) itu telah dihantar secara pos berdaftar kepada Najib pada 25 Mac 2019 ke alamat terakhirnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dekat sini.

Kerajaan mendakwa Najib telah ditaksirkan dengan Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM116,173,374.12; RM320,929,932.31; RM891,573,465.46; RM119,144,655.51; RM16,879,500.03; RM643,445.21 dan RM346,471.41 bagi tahun 2011 hingga 2017.

Namun, menurut plaintif notis berkenaan tidak pernah dikembalikan kepada LHDN.

Dakwa plaintif lagi, kegagalan defendan untuk membayar kesemua cukai berkenaan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian notis taksiran itu kepada LHDN menyebabkan kenaikan cukai sebanyak 10 peratus.

Kenaikan cukai itu seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Artikel Berkaitan:

Kenaikan cukai 10 peratus itu menjadikan jumlah taksiran bertambah antara 2011 hingga 2017.

Kerajaan mendakwa Najib juga masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan dan kenaikan 10 peratus yang masih terhutang dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Oleh demikian, kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan atas keseluruhan cukai pendapatan bagi Tahun-tahun Taksiran 2011 (Tambahan) sehingga 2017 (Tambahan) yang masih belum dibayar dan kenaikan 10 peratus tersebut," dakwa plaintif.

Kerajaan mendakwa mereka berhak untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang serta kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atas Najib sebagai suatu cukai yang genap tempoh masanya yang harus dibayar.

Sehubungan itu, kerajaan menuntut Najib membayar RM1,692,872,924.83, faedah atas jumlah wang berkenaan pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga kes selesai, kos dan apa-apa relif yang sesuai oleh mahkamah.