Bekas pengurus mengaku tak salah pecah amanah

Tertuduh semasa di bawa ke Mahkamah Seremban hari ini.
Tertuduh semasa di bawa ke Mahkamah Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Bekas Pengurus Koperasi Melayu Berjawatan Kerajaan Negeri Sembilan Berhad (Kombek) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan pecah amanah empat tahun lalu.

Tertuduh, Fazilawati Abdul Rahman, 42, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Diana Md Razali selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai orang yang diamanahkan memegang kunci peti besi diserahkan Kombek untuk menyimpan wang tunai RM143,000 dan dokumen perjanjian pinjaman anggota.

Namun, tertuduh dengan curang menghilangkan kunci peti besi yang diamanahkan itu di Pejabat Kombek di sini antara 29 Oktober 2015 sehingga Januari 2017.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azri.

Peguam Nazri Kassim yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya itu dibenarkan ikat jamin dengan jumlah minimum.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan 5 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: