Usul dana politik lebih penting berbanding isytihar harta: Pakar undang-undang

Dr Muhammad Fathi Yusof
Dr Muhammad Fathi Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Usul berkenaan undang-undang dana politik berkaitan pembiayaan parti-parti lebih penting dan wajar diberi keutamaan untuk dikemukakan berbanding mewajibkan Ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing.

Pakar perlembagaan yang juga Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ini kerana negara telah jauh ketinggalan dalam perkara itu berbanding negara-negara lain.

Katanya lagi, sudah tiba masanya undang-undang dana politik berkaitan pembiayaan parti-parti di negara ini digubal dan diteliti sebagai usaha untuk membanteras amalan rasuah.

“Isytihar harta ini hanya merupakan mekanisme sokongan untuk memantau pemimpin atau ahli politik agar tidak terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa.

“Dalam konteks politik, usul ini (isytihar harta) memberi persepsi positif kepada kerajaan selaras dengan usaha kerajaan untuk membanteras budaya tidak bermoral.

“Tetapi adalah lebih baik kerajaan tumpukan kepada usul undang-undang dana politik bagi menghalang pemberian wang atau dana daripada ahli dan penyokong parti yang mengharapkan sesuatu sebagai balasan sekali gus menjurus kepada rasuah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Terdahulu, Dewan Rakyat Isnin lalu, sebulat suara meluluskan usul untuk mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang dan keluarga mereka mengisytiharkan pendapatan dan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, perkara itu dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang.

Artikel Berkaitan:

Usul yang dibentangkan itu terpakai kepada semua Ahli Dewan Rakyat, suami atau isteri, anak yang berumur 21 tahun ke bawah dan semua pemegang amanah yang berkaitan.

Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usul untuk mewajibkan setiap wakil rakyat perlu mengisytiharkan harta masing-masing akan dibentangkan dalam sidang Parlimen.