Skim B40 CaB bantu tingkat kemahiran

M Kula Segaran
M Kula Segaran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) hari ini melancarkan skim B40 Capacity Building (B40 CaB) bagi membantu pekerja berpendapatan rendah mendapat latihan kemahiran bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata, skim berkenaan sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi golongan tersebut dan mencapai sasaran kerajaan sebanyak 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun depan.

“Ketika ini jumlah tenaga mahir hanya 28 peratus. Kita perlu lebih tumpuan untuk menjayakan perkara ini dan majikan digalakkan beri peluang kepada kakitangan mereka untuk mendapatkan kemahiran.

“Skim ini terbuka kepada semua orang dan diharap mereka akan mengambil manfaat ini untuk meningkatkan kemahiran,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan skim berkenaan pada Majlis Sambutan Hari Raya dan Hari Bertemu Pelanggan PSMB 2019 di sini.

Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) menerusi B40 CaB, menyasarkan untuk membekalkan para peserta dengan kemahiran serta pengetahuan tertentu bagi membolehkan mereka mendapat kerja, naik pangkat dan/atau menambah pendapatan.

HRDF akan melaksanakan beberapa projek permulaan bersama dengan rakan strategiknya Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) sebelum pelancaran rasminya yang dijangka pada bulan Ogos ini.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Pengerusi PSMB Datuk Noor Farida Mohd Ariffin dan Ketua Eksekutif PSMB V. Elanjelian.

Pada majlis itu Kula Segaran turut menyampaikan duit raya dan bantuan persekolahan kepada 18 kanak-kanak dari Pertubuhan Nur Syaheera, Cheras.

Artikel Berkaitan: