'Henti segera lombong pasir di perairan Perak'

Salma (tiga, kanan) bersama lebih 30 peserta taklimat membantah cadangan aktiviti perlombongan pasir di persisiran pantai Utara Perak oleh kerajaan Pulau Pinang untuk perlaksanaan projek tambakan laut di PSR Pulau Pinang.
Salma (tiga, kanan) bersama lebih 30 peserta taklimat membantah cadangan aktiviti perlombongan pasir di persisiran pantai Utara Perak oleh kerajaan Pulau Pinang untuk perlaksanaan projek tambakan laut di PSR Pulau Pinang.
A
A
A

TAIPING - Lebih 9,000 nelayan Perak menggesa campur tangan kerajaan Pusat untuk mengkaji semula kebenaran aktiviti perlombongan pasir membabitkan kawasan persisiran pantai Perak Utara bagi digunakan untuk projek tambakan laut perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Perak, Mansor Yusof berkata, gesaan itu dibuat susulan cadangan kerajaan Pulau Pinang mendapatkan bekalan pasir bagi membina tiga buah pulau sempena pelaksanaan projek tambakan laut PSR yang dirangka menerusi Pelan Induk Pengangkutan (PIP).

Menurutnya, projek itu dikatakan akan menggunakan sebanyak 189 juta meter padu (m3) pasir yang akan dikorek di kawasan 20 batu nautika dekat perairan di daerah Manjung hingga Kerian, Perak.

"Perlombongan pasir di kawasan itu akan menyebabkan hakisan teruk di pesisir pantai, sekali gus menjejaskan kawasan hutan paya bakau.

"Penggalian sumber mineral itu turut menyebabkan wujudnya kawah besar di dasar laut, selain menjejaskan kawasan terumbu karang yang menjadi tempat pembiakan ikan.

"Senario itu bukan sahaja akan menjejaskan mata pencarian rezeki 9,000 nelayan Perak, bahkan akan mengundang ancaman tsunami dan hakisan teruk di persisir pantai dengan Tanjung Piandang, Kuala Sepetang dan Kuala Kurau adalah kawasan paling teruk terjejas," katanya kepada media selepas majlis taklimat mengenai aktiviti perlombongan pasir di Perak Utara kepada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan agensi kerajaan, di sini hari ini.

Mansor Yusof
Mansor Yusof

Mansor berkata, pihaknya ada bertemu dengan wakil kerajaan Mei lalu yang memberi jaminan akan membawa isu kegusaran nelayan Perak ke dalam mesyuarat Exco Perak dan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kelak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, nelayan Perak tetap dengan pendirian membantah aktiviti perlombongan pasir di kawasan persisiran pantai negeri ini kerana kesan negatif akibat aktiviti itu akan ditanggung mereka sehingga 30 tahun, meskipun projek difahamkan akan berjalan selama 15 tahun.

"Sekali pun dijanjikan wang pampasan, nelayan Perak serik untuk membenarkan projek yang ternyata memberi implikasi negatif terhadap kelestarian perikanan di negeri ini.

"Kami minta kerajaan pusat campur tangan bagi mempertimbangkan semula kelulusan projek itu dan mengesyorkan supaya aktiviti pengambilan pasir diambil di kawasan sempadan perairan antarabangsa supaya tidak menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Penang Forum, Khoo Salma, berpuas hati dengan penyertaan banyak pihak bagi membantah perlaksanaan projek pengambilan pasir di persisiran pantai Perak Utara terutama golongan nelayan negeri Perak.

Menurutnya, pihaknya turut menjemput nelayan Perak untuk turut serta dalam satu perhimpunan aman membantah perlaksanaan projek tambakan laut di PSR Pulau Pinang yang dijangka akan dimulakan setelah mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

"Perhimpunan aman ini akan dianjurkan di pekarangan Parlimen pada 11 Julai ini bermula jam 9 pagi dan sudah mendapat kelulusan permit daripada polis.

"Kami mengharapkan sokongan lebih ramai rakyat prihatin memandangkan isu ini melibatkan kepentingan nasional," katanya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan cadangan kerajaan Pulau Pinang membina tiga pulau buatan bagi membiayai kos PIP dianggarkan bernilai RM49 bilion.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow baru-baru ini mengumumkan projek kontroversi tambak laut di perairan selatan negeri itu mendapat persetujuan perlaksanaannya oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN).

Menurutnya, MPFN dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menimbang dan bersetuju dengan pelaksanaannya dengan mematuhi 18 nasihat ditetapkan.