Lori seludup 1,780kg jambu air ditahan

Muatan jambu air yang cuba diseludup masuk ke dalam negara.
Muatan jambu air yang cuba diseludup masuk ke dalam negara.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Sebuah lori membawa muatan buah-buahan dari Thailand ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah, ketika cuba menyeludup 1,780 kilogram jambu air bernilai RM8,900 ke negara ini, semalam.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah, Lily Rosalind berkata, pemandu lori berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen sah daripada MAQIS seperti permit import dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal.

Menurutnya, jambu air tersebut akan ditahan manakala syarikat pengimport terbabit bakal dikenakan kompaun.

Anggota penguat kuasa memeriksa muatan lori yang ditahan semalam.
Anggota penguat kuasa memeriksa muatan lori yang ditahan semalam.

“Mengikut Peraturan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728), semua orang yang membawa barangan bawah kawalan Akta MAQIS memerlukan permit daripada MAQIS. Kegagalan mematuhi peraturan import boleh dikenakan kompaun bawah Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Perkompaunan Kesalahan) 2019,” katanya, dalam kenyataan media, hari ini.

Lily berkata, penemuan itu hasil pemeriksaan bersama pihaknya dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) bagi mengekang kemasukan perosak seperti serangga perosak buah dan penyakit yang boleh menjejaskan industri pertanian negara sekiranya tidak dikawal sebaiknya.

“Jika ini berlaku, boleh menyebabkan kerajaan menanggug kerugian tinggi yang berpunca daripada penyakit tidak dikawal,” katanya.

Menurutnya, perbuatan mengimport sesuatu barangan tanpa permit sah juga menjadi kesalahan bawah sekyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (AKTA 728) yang boleh dihukum bawah seksyen 11(3), didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan: