Sultan Nazrin kurnia biasiswa kepada 10 pelajar

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan nazrin Shah berkenan bergambar bersama penerima-penerima biasiswa Yang di-Pertuan Agong selepas Majlis Penganugerahan Penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Sesi Pengajian 2019/2020 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan nazrin Shah berkenan bergambar bersama penerima-penerima biasiswa Yang di-Pertuan Agong selepas Majlis Penganugerahan Penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Sesi Pengajian 2019/2020 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2019 kepada 10 penuntut institusi pengajian tinggi di Istana Negara di sini.

Kesemua penerima biasiswa itu dipilih oleh Jawatankuasa BYDPA untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi serta sains dan teknologi di pelbagai universiti tempatan dan luar negara.

Enam yang menerima biasiswa bagi pengajian PhD ialah Saira Bannu Baharuddin, pelajar Geosains Petroleum di Imperial College London, United Kingdom; R. Harishini (Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM); Nur Liyana Mohammed Yusof (Sains Bioperubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Muhammad Ammar Muhammad Sani (Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Qistina Mohamad Ludin (Tenaga Keterbaharuan, UKM) dan Nik Syahirah Aliaa Nik Sharifulden (Kejuruteraan Biomedikal, USM).

Sementara itu, pelajar yang menerima biasiswa bagi pengajian Sarjana ialah Nurul Syuhadah Yakath Ali (Sains Kemasyarakatan (Ekonomi), USM); Ang Zi Qing (Matematik, USM); Muhammad Afiq Farahi Abd Rahim (Kejuruteraan Aeroangkasa, USM) dan Chow Yoke Yue (Sains Perubatan, UKM).

Sehingga kini, BYDPA telah menaja 161 pelajar, melibatkan 81 pelajar di peringkat PhD dan 80 pelajar di peringkat Sarjana sejak mula diperkenalkan pada 2006.

Turut hadir pada majlis penganugerahan biasiswa itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah dan Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Sementara itu, seorang penerima biasiswa PhD, R. Harishini, 25, yang ditemui selepas majlis itu berkata beliau bercadang untuk mendalami kajian mengenai kanser payudara bagi menambah baik rawatan yang terdapat di Malaysia.

“Saya rasa perlunya ada satu kajian mengenai penyakit itu dan saya akan mengkaji cara-cara semula jadi yang boleh dilakukan untuk menghalang pertumbuhan kanser dalam sistem imunisasi badan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Muhammad Ammar, 24, yang turut menerima biasiswa PhD, peluang itu akan digunakan sebaiknya untuk melakukan kajian yang memberi fokus kepada industri Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang semakin meluas di Malaysia.

“Kajian saya mengenai keberkesanan pembelajaran kepada pelajar menggunakan peralatan realiti maya berbentuk kandungan permainan bagi menarik minat golongan muda untuk belajar,” katanya. - Bernama