Polis tahan lelaki pecah masuk pejabat UMNO Silam

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Polis menahan seorang penagih dadah dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk pejabat UMNO Bahagian Silam di Bangunan Global Commercial di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek lelaki berusia 22 tahun itu ditahan dalam serbuan Ops Kesan di sebuah bilik pekerja kilang ais di Jalan Dam di sini, pada 1.30 pagi tadi.

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah masuk serta satu kes Seksyen 379 Kanun Keseksaan (mencuri) selain satu kes di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya, manakala kes terbaharu ini akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata tangkapan dilakukan bertindak daripada laporan dari pejabat UMNO berhubung kes pecah masuk berkenaan.

“Pengadu iaitu seorang wanita berusia 39 tahun dimaklumkan oleh kakitangan pejabat mengenai keadaan pejabat (UMNO) berselerak ketika pejabat itu dibuka pada pukul 8.42 pagi, dan dia mendapati dua komputer riba jenama Asus dicuri. Suspek dipercayai masuk melalui pintu utama, dengan mengumpil kunci mangga pada gril besi pintu utama," katanya.

Menurut Nasri, pada hari kejadian suspek turut disyaki cuba memecah masuk sebuah bengkel motosikal serta kedai aksesori kereta, berdasarkan kepada keadaan kunci gril kedai berkenaan yang dirosakkan. – Bernama

Artikel Berkaitan: