Kerajaan jangan terburu-buru: PKPIM

PKPIM
PKPIM
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta agar tidak terburu-buru untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pertubuhan & Pembangunan Belia 2007 pindaan 2019 berhubung cadangan bagi mentakrifkan umur maksimum belia di negara ini.

Sebaliknya, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berpandangan, kerajaan sewajarnya merujuk Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang (RUU) terlebih dahulu bagi membolehkan ia diperhalusi serta membuka ruang konsultasi bersama seluruh pemegang taruh hal ehwal belia di negara ini.

Presidennya, Muhamad Nur Iman Abdul Khudus berkata, perkara itu merujuk kepada cadangan baharu untuk menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun dan bukannya 35 tahun seperti yang dicadangkan sebelum ini.

“PKPIM menuntut Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk melaksanakan janji yang dibuat sewaktu ucapan Hari Belia Negara 2019 baru-baru ini berkaitan cadangan transisi penurunan umur secara berperingkat daripada 40 kepada 35 terlebih dahulu bukannya terus kepada 30 tahun.

“Proses transisi secara berperingkat akan membuka ruang kepada sebahagian besar pertubuhan belia untuk lebih bersedia dengan dasar terbaru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, PKPIM sebagai antara gabungan pelajar dalam Majlis Belia Malaysia sentiasa komited dan menyokong usaha KBS bagi meremajakan kepimpinan pertubuhan belia seluruh negara.

Namun katanya, langkah ini sewajarnya dibuat secara berperingkat dan tidak terlalu drastik dengan mengambil kira kelestarian organisasi belia dari peringkat akar umbi hinggalah peringkat kebangsaan.

“PKPIM berharap perkara ini mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak Ahli Parlimen yang rata-ratanya lahir dari rahim perjuangan belia dan menaruh kepercayaan tinggi kepada kerajaan baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menangani isu ini secara bijaksana,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Syed Saddiq dilaporkan akan membawa usul menurunkan umur takrifan belia kepada maksimum 30 tahun, berbanding 40 tahun ketika ini ke Parlimen.

Beliau berkata, ia antara cadangan penambahbaikan yang dilaksanakan kementeriannya berkaitan belia.

Hal itu, katanya, penting bagi memastikan bantuan yang dikhususkan kepada golongan belia berusia bawah 30 tahun yang selama ini terabai diberikan perhatian.