Inisiatif 'Road to Makkah' di Malaysia memasuki tahun ketiga

Mahmoud Hussien Saeed Qattan - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Persiapan untuk inisiatif ‘Road to Makkah’ Arab Saudi, yang memasuki tahun ketiga di Malaysia, sedang rancak dilakukan dengan kumpulan pertama jemaah dijangka berlepas ke tanah suci pada Khamis, kata Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

"Pasukan kami yang terdiri daripada 55 orang sudah berada di sini. Tahun ini, sistem itu akan menjadi lebih baik kerana kami sudah mempunyai pengalaman dari tahun-tahun yang lepas,” kata beliau kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama ketika ditemui pada majlis hari terbuka Aidilfitri anjuran Pejabat Penasihat Islam kedutaan itu di sini pada Selasa.

‘Road to Makkah’ adalah satu sistem prapelepasan haji, yang menyaksikan jemaah di bawah inisiatif ini akan diambil cap jari mereka, pasport mereka akan dicap di negara di mana jemaah berlepas, dan kemasukan mereka ke Arab Saudi akan dipermudah seperti penerbangan domestik manakala bagasi mereka akan dihantar terus ke penginapan mereka.

Projek perintis itu dikendalikan di Malaysia pada 2017 sebelum inisiatif tersebut dilancarkan sepenuhnya tahun lepas untuk kira-kira 65,000 jemaah Malaysia dan Indonesia.

Tahun ini, jemaah Malaysia dijadual memulakan perjalanan untuk mengerjakan ibadat haji dari 4 Julai hingga 4 Ogos dengan 62 penerbangan sewa khas.

‘Road to Makkah’ merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Nasional Kerajaan Arab Saudi (2020) untuk mencapai Wawasan 2030 negara itu.

Sementara itu, duta tersebut berkata terdapat kerjasama serta komunikasi yang baik antara Arab Saudi dan Malaysia bagi memastikan keselamatan jemaah Malaysia di Makkah dan Madinah di tengah-tengah ketegangan di Timur Tengah dan serangan dron oleh pemberontak Houthi.

"Kami mempunyai hubungan yang baik dengan pihak Malaysia. Dalam satu pertemuan dengan pihak Malaysia, (kami membincangkan) bukan hanya isu keselamatan tetapi mengenai semua perkara... seperti pengangkutan, kediaman atau hotel, semua perkara mengenai Haji dan rakyat Malaysia. Jika ada lagi yang diperlukan Malaysia, kita boleh berbincang," katanya.

Menurut laporan, satu serangan dron oleh pemberontak Houthi ke atas Lapangan Terbang Abha Arab Saudi pada awal Selasa telah menyebabkan sembilan orang cedera. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia