670 petugas haji berlepas ke Arab Saudi

Syed Saleh (tiga dari kiri) meraikan petugas haji yang akan berlepas ke tanah suci pada Ahad.
Syed Saleh (tiga dari kiri) meraikan petugas haji yang akan berlepas ke tanah suci pada Ahad.
A
A
A

SEPANG - Seramai 670 petugas haji akan digerakkan ke Arab Saudi bagi menjayakan perjalanan operasi haji tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, mereka terdiri daripada 340 petugas kebajikan, 296 pasukan perubatan dan selebihnya daripada agensi luar termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pengamal media.

Menurutnya, pada Ahad, seramai 160 petugas haji yang merupakan kumpulan kedua telah berlepas ke tanah suci.

"Kumpulan pertama yang terdiri daripada 16 petugas perubatan dan petugas teknologi maklumat (IT) telah berlepas pada Jumaat lepas dan akan disusuli dengan tiga kumpulan besar pada hari ini (14 Mei), 18 Mei dan 20 Mei 2023,” katanya pada Majlis Keberangkatan Petugas Haji Advance Party 1444H di Movenpick Hotel dan Convention Centre dekat sini pada Ahad.

Dalam pada itu beliau berkata, penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula pada 21 Mei ini manakala penerbangan terakhir pada 1 Ogos 2023.

Badruldin antara 13 pengamal media daripada agensi tempatan yang akan bertugas di tanah suci.
Badruldin antara 13 pengamal media daripada agensi tempatan yang akan bertugas di tanah suci.

"Bagi tahun ini, hari wukuf iaitu 9 Zulhijjah dijangka pada hari Selasa, 27 Jun 2023.

"Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang melibatkan Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia, " katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Badruldin Zakaria yang menjadi antara 13 pengamal media daripada agensi tempatan yang akan bertugas di tanah suci.

Badruldin berkata, ini merupakan pertama kali Sinar Harian diberikan peluang oleh TH untuk membuat liputan haji.

"Insya-ALLAH Sinar Harian akan memberikan liputan terbaik untuk perkembangan terkini musim haji dari masa ke masa untuk dikongsikan kepada pembaca.

"Doakan petugas dan jemaah haji diberikan kesihatan yang baik supaya dapat menjalankan tugas menunaikan ibadah dengan lancar," katanya.