Pesawat terhempas: Polis sahkan warga AS bukan perisik

Polis menjalankan siasatan di lokasi.
Polis menjalankan siasatan di lokasi.
A
A
A

JELEBU - Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop menafikan warga Amerika Syarikat (AS) yang dipercayai terlibat dalam kejadian pesawat terhempas di Purun, Kuala Klawang Sabtu lalu, adalah seorang perisik.

Beliau berkata, lelaki yang berusia 50-an ini masuk ke negara ini sebagai pelancong yang sah.

"Mana ada perisik... dakwaan kononnya lelaki itu menjalankan aktiviti risikan juga tidak benar," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai keterangan daripada mangsa, beliau berkata, buat masa ini keadaan kesihatan mangsa yang kini berada di sebuah Hospital di Kuala Lumpur tidak mengizinkan.

Mohamed berkata, hasil siasatan polis terhadap bangkai pesawat itu juga mendapati ia jenis Technam bukannya jenis Glider seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Berhubung status lapangan terbang yang digunakan sebagai tempat aktiviti penerbangan glider di kawasan itu, perkara itu bukan di bawah siasatan polis.

"Siasatan lanjut terhadap pesawat ringan tersebut diteruskan oleh Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan.

"Bagaimanapun, pihak polis akan berikan bantuan yang diperlukan. Siasatan polis hanya menjurus ke arah unsur-unsur jenayah jika ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beliau bersama Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Kamarul Rizal Jenal meninjau lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat ringan terhempas di Kuala Klawang

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa pesawat terhempas melecur dikenal pasti

Media sebelum ini melaporkan sebuah pesawat ringan jenis glider dipercayai terhempas di kawasan Purun, Kuala Klawang di sini, kira -kira jam 3.30 petang Sabtu lalu namun tiada mangsa dikesan di lokasi.

Bagaimanapun, dua mangsa berjaya dikenal pasti iaitu merupakan lelaki warga AS dan lelaki tempatan berusia 50-an.

Berdasarkan pengesahan polis juga, kedua-duanya dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban selepas dirujuk oleh Hospital Jelebu.

Sinar Harian difahamkan, mangsa dipercayai kini dirawat di Hospital Swasta di Kuala Lumpur.