Empat ahli Geng 24 direman kes simbah cat

Rohaimi Md Isa
Rohaimi Md Isa
A
A
A

KUALA LANGAT - Empat ahli kongsi gelap Geng 24 ditahan reman selama empat hari kerana dipercayai terlibat dalam kes simbah cat rumah aktivis alam sekitar di Kuala Langat, 26 Jun lalu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Saifuddin Rafie di Mahkamah Majustret Telok Datok, di sini hari ini, bagi siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mengugut serta khianat terhadap mangsa.

Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap JSJ Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, keempat-empat suspek direman empat hari sehingga Jumaat ini.

"Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan polis berhubung kes simbah cat yang dilaporkan sebelum ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan penahanan empat lelaki terbabit berusia lingkungan 20 hingga 31 tahun di sebuah rumah di Damansara, Petaling Jaya.

Polis telah merampas sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan semasa kejadian, satu paket disyaki dadah syabu, sebilah pedang samurai serta seunit telefon bimbit yang digunakan bagi merakam aktiviti jenayah tersebut.

Soal siasat mendapati keempat-empat suspek mengaku penglibatan mereka di dalam kegiatan kongsi gelap Geng 24 dan menerima upah daripada individu tertentu.

Malah semakan mendapati setiap suspek ini mempunyai rekod kesalahan lampau di termasuk kes jenayah, dadah dan dikehendaki.

Artikel Berkaitan: