Polis Malaysia, Indonesia kongsi maklumat risikan

salam
salam
A
A
A

JAKARTA - Polis Malaysia dan Indonesia mengambil pendekatan berkongsi maklumat risikan, bagi membanteras sindiket penyeludupan dadah, yang dilihat semakin membimbangkan kini.

Timbalan Direktor Divisyen Narkotik Polis Indonesia, Krisno Siregar berkata sepasukan polis Malaysia, yang diketuai Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abdul Rahim Dolmat, kini berada di Jakarta, khusus bagi membincang, mengambil pendekatan dan tindakan khusus menangai perkara itu.

Ia susulan beberapa kejadian penyeludupan dadah dari Malaysia yang diseludup ke Indonesia sejak kebelakangan ini.

Terbaharu, enam warga Malaysia ditahan disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah jenis syabu menggunakan kapal layar mewah.

Polis Indonesia menemui dadah jenis syabu seberat 37kg di dalam kapal layar Carron Layner, yang berlabuh di Dermaga Batavia Sunda Kelapa, Jakarta Utara, jam 9.30 malam pada 4 Jun lepas.

"Menerusi pertemuan ini, kami juga membincangkan kerjasama dengan pihak polis di 11 wilayah di Indonesia iaitu fokus kepada kawalan sempadan laut dan darat, dan perkongsian maklumat risikan," katanya.

Beliau berkata polis Malaysia dan Indonesia sedar bahawa produk dadah yang diseludup ke Indonesia, bukannya berasal dari Malaysia.

"Dadah ini dipercayai dari Myanmar dan negara lain, dengan menjadikan Malaysia sebagai transit, sebelum diseludup ke Indonesia," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: