X

Kindly register in order to view this article
!

Lesen PSV: Harga tambang tidak naik mendadak

Anthony Loke - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan dasar untuk mewajibkan semua pemandu e-hailing menduduki ujian lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) tidak akan menyebabkan harga tambang perkhidmatan itu berubah secara mendadak.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata ini kerana harga tambang bagi perkhidmatan e-hailing tidak ditetapkan mengikut harga siling, selain ia berdasarkan kepada permintaan pasaran.

"Saya tidak melihat bahawa ia akan berubah secara mendadak. Ramai yang berkata bahawa apabila kami buat peraturan ini maka kadar tambang akan meningkat. Itu adalah apa yang dikatakan, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

"Kami harap syarikat e-hailing apabila mereka sudah mengikut peraturan ini, maka kadar tambang harus berpatutan dan kalau mereka tidak kompetitif, penumpang tidak akan memilih perkhidmatan mereka,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anthony Loke berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai pelaksanaan mewajibkan pemandu e-hailing mengambil lesen PSV akan menyebabkan perbezaan harga kepada pelanggan perkhidmatan itu.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata seramai 10,151 atau 62 peratus daripada 16,338 pemandu lulus dan layak memohon lesen PSV setakat 1 April hingga 30 Jun lepas.

"Bilangan ini dijangka meningkat dengan lebih mendadak menjelang 12 Julai ini selaras dengan pengenalan kursus secara digital yang telah dijalankan bermula 3 Jun 2019 di pusat latihan yang telah diluluskan,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang ingin tahu langkah-langkah mitigasi yang diambil oleh kementerian itu berikutan kenyataan Persatuan Pemandu Grab Malaysia bertarikh 14 Mei 2019 yang mendakwa hanya 10 hingga 50 peratus pemandu e-hailing lulus dalam setiap kelas ujian itu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!