KOM rayu IAAF timbang pelantikan semula Harun Rasheed

KOM
KOM
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) akan membuat rayuan kepada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) untuk membolehkan Harun Rasheed dilantik semula sebagai jurulatih pecut kebangsaan.

Presiden baharu KOM, Datuk S. M. Muthu, berkata pihaknya akan menulis surat kepada badan induk olahraga dunia itu dalam masa terdekat agar mengurangkan tempoh penggantungan 10 tahun terhadap Harun yang masih berbaki lebih kurang dua tahun.

“Saya sudah berjumpa dengan Harun, dan beliau setuju namanya dicadangkan sebagai jurulatih bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Selepas menewaskan penyandang Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim, pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu semalam, Muthu berkata beberapa jurulatih tempatan akan dilantik, termasuk Harun yang sedang menjalani hukuman penggantungan ekoran pembabitannya dalam kes doping.

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada 2011 menjatuhkan hukuman penggantungan selama 10 tahun kepada bekas jurulatih pecut kebangsaan itu atas dakwaan menjadi dalang terhadap isu enam atlet negara melarikan diri daripada ujian doping.

Muthu berkata, beliau berhasrat memberi peluang kepada Harun kembali dalam arena olahraga tanah air susulan prestasi membanggakannya ketika melatih kuartet 4x100m wanita negara yang dibarisi Siti Zubaidah Adabi, Nor Jannah Hafizah Jamaludin, Yee Yi Ling dan Nurul Sarah Abdul Kadir, dengan pencapaian hebat selepas 21 tahun ketika beliau menjadi jurulatih kebangsaan dari awal 2010 hingga 2012.

Kuartet negara itu mempamerkan kebangkitan apabila mencatat rekod baharu kebangsaan dengan catatan 45.33 saat yang dilakukan pada Kejohanan Grand Prix (GP) Poland pada Julai 2010.

Namun, Harun dipalit kontroversi apabila didakwa menjadi dalang berhubung isu enam atlet melarikan diri daripada menjalani ujian doping, dan digantung 10 tahun oleh CAS berkuat kuasa 12 Sept 2011.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muthu berkata, setakat ini, belum ada lagi cadangan nama jurulatih tempatan lain kerana beliau ingin mendapatkan pandangan daripada barisan atlet negara sebelum membuat keputusan tersebut. - Bernama