Pengundi 18 tahun: Pemuda Pas Terengganu setuju bersyarat

Mohd Nasir
Mohd Nasir
A
A
A

KUALA NERUS - Pemuda Pas Terengganu setuju bersyarat mengenai cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Ketuanya, Mohd Nasir Abdul Razak berkata, ia boleh dipraktikkan dengan syarat kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu melaksanakan pendaftarannya secara automatik apabila sampai umur layak untuk mengundi.

"Pelaksanaan ini sangat penting bagi memudahkan rakyat Malaysia untuk menjadi seorang yang layak mengundi terutama pengundi pertama," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Katanya, persetujuan itu setelah melihat kesedaran dan kematangan golongan muda terhadap pentingnya politik dan kuasa mengundi sehingga mampu merubah pentadbiran kerajaan pada PRU14.

"Persetujuan juga seiring dengan peredaran zaman yang menuntut pembaharuan dan mengikut arus politik semasa di mana pengundi muda dilihat sangat berminat untuk menceburkan diri dalam landskap politik tanah air," katanya.

Katanya, Pemuda Pas sangat yakin, cadangan itu akan disokong penuh parti parti lain mahupun parti parti di dalam PH sendiri termasuklah pertubuhan bukan kerajaan yang ingin melihat perubahan dilakukan oleh kerajaan baharu ini demi menyuburkan demokrasi di dalam negara ini.

Artikel Berkaitan: