Pura-pura nak beli sebelum curi

Chee Khoon (tengah) bergambar bersama pegawainya pada sidang media di IPD Sabak Bernam.
Chee Khoon (tengah) bergambar bersama pegawainya pada sidang media di IPD Sabak Bernam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Dua rakan dicekup polis selepas terlibat dalam kes curi telefon bimbit sebuah kedai telekomunikasi di Pekan Sekinchan di sini, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, kedua-dua suspek berusia 14 dan 12 tahun yang masih bersekolah itu ditahan di dua lokasi berasingan di daerah ini.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila suspek berusia 14 tahun itu ke kedai telekomunikasi terbabit berpura-pura ingin membeli sebuah telefon bimbit.

"Suspek kemudiannya melarikan diri selepas jurujual menyerahkan telefon bimbit yang kononnya ingin dibeli suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.

Chee Khoon berkata, suspek menuju ke motosikal yang ditunggang seorang rakan suspek yang terlibat dalam kes berkenaan.

Katanya, bertindak hasil maklumat awam dan risikan polis, suspek utama kes itu berjaya dicekup jam 1.21 pagi di tepi jalan di Pekan Sekinchan.

Beliau memberitahu, penangkapan suspek itu berjaya membongkar kegiatan sama yang dilakukan seorang suspek yang membawa penangkapannya pada jam 2.01 pagi di sebuah rumah di Parit 8 Kampung Sungai Leman.

Dalam serbuan itu, polis berjaya menemui sebuah telefon bimbit dan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek yang ditahan tidak memiliki rekod lampau dan kini masih ditahan reman bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.