Pemandu jengkaut maut dihempap batu kuari

Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam jengkaut kendaliannya hari ini. Gambar kecil: Thiam Fatt
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam jengkaut kendaliannya hari ini. Gambar kecil: Thiam Fatt
A
A
A

SIMPANG PULAI - Seorang pemandu jengkaut maut selepas dihempap bongkah batu ketika melakukan kerja di sebuah kuari di mukim Sungai Raia, Keramat Pulai di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, Loi Thiam Fatt, 56, yang berasal dari Taman Buntong Ria, Ipoh ditemui tersepit dalam kenderaan itu selepas dihempap bongkah dianggarkan seberat 30 tan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima makluman terdapat kejadian tanah runtuh yang menimbuskan sebuah jengkaut serta pemandunya.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa melakukan kerja-kerja membersihkan batu-batu kuari yang telah diletupkan Khamis lalu.

"Sebelum kejadian, mangsa telah pun mengisi muatan batu kuari pada dua lori untuk dibawa keluar.

"Ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja menolak, tiba-tiba batu besar dari atas bukit telah jatuh menyebabkan mangsa tersepit dalam kenderaan terbabit," katanya.

Mohd Ali berkata, mangsa mengalami kecederaan teruk akibat dihempap bongkah batu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Abd Hadi Abdullah berkata, sepasukan tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 9.47 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bertindak melakukan kerja-kerja pengalihan bongkah batu dan penilaian bahaya di lokasi berkenaan.

"Kita menggunakan 'heavy duty rescue' untuk mengeluarkan mangsa. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Mangsa yang mengendalikan jengkaut ditemui maut selepas dihempap bongkah batu kuari hari ini.
Mangsa yang mengendalikan jengkaut ditemui maut selepas dihempap bongkah batu kuari hari ini.