Pemuda UMNO Selangor sokong Zahid kembali terajui parti

Rizam
Rizam
A
A
A

SABAK BERNAM - Pemuda UMNO Selangor menyambut baik keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menjalankan tugas selaku Presiden parti itu.

Ketuanya, Rizam Ismail berkata, seluruh kepimpinan parti dan penyokong akar umbi diminta terus setia di bawah kepimpinan Ahmad Zahid, Timbalan Presiden UMNO; Datuk Seri Muhammad Hasan dan kepimpinan tertinggi UMNO.

"Keutamaan kita hari ini untuk bersama-sama presiden dan barisan kepimpinan menentang rejim Pakatan Harapan yang semakin hari semakin hilang kepercayaan rakyat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Rizam yang juga Ketua Pembangkang DUN Selangor berkata, setiap ahli diminta tidak berbalah di media sosial dan terus setia di bawah kepimpinan presiden.

"Ini adalah satu titik tolak kebangkitan UMNO yang sudah mula diterima kembali oleh rakyat," katanya.

Justeru, tegasnya, pemuda Umno negeri mengesyorkan majlis tertinggi parti itu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memberi gambaran buruk kepada imej parti dan melaga-lagakan pucuk pimpinan parti.

"Fokus kita adalah memperkuatkan lagi penyatuan ummah yang sudah terbina ini yang tentu sekali berjaya menarik minat rakyat untuk membela nasib mereka demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.

"Insya-ALLAH, UMNO mampu bangkit kembali demi rakyat dan negara tercinta ini," katanya.

Artikel Berkaitan: