Bank Dunia unjur KDNK tumbuh 4.6 peratus

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Ekonomi Malaysia dijangkakan berkembang pada kadar yang agak sederhana, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencatatkan 4.6 peratus pada 2019, kata Bank Dunia.

Ahli ekonomi utama dalam makroekonomi, perdagangan dan pelaburan Richard Record berkata KDNK mencatatkan 0.1 mata peratusan lebih rendah berbanding unjuran sebelum ini, mencerminkan aktiviti pelaburan dan eksport yang lebih lemah berbanding unjuran pada suku pertama (Q1) 2019.

Pada April Bank Dunia mengekalkan unjuran KDNK pada 4.7 peratus.

"Risiko berpotensi ke atas pertumbuhan termasuk perkara berkaitan ketegangan perdagangan, pertumbuhan ekonomi utama yang lebih perlahan berbanding jangkaan, selain ketidakstabilan dalam pasaran kewangan dan komoditi.

"Kadar hutang swasta dan awam yang agak tinggi juga menimbulkan risiko kepada pertumbuhan," katanya pada sidang akhbar pada Persidangan Permulaan Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025, di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun penggunaan swasta dijangka terus menyokong permintaan dalam negeri, pertumbuhannya dijangkakan berkurangan kepada 6.6 peratus tahun ini.

Ini berikutan pengembangan yang teguh pada 2018, terutama semasa tempoh GST berkadar sifar.

"Dalam sektor awam, rasionalisasi berterusan perbelanjaan kerajaan akan menyebabkan sumbangannya berkurangan, dengan kadar pertumbuhan dijangkakan bertahan pada 1.8 peratus bagi tahun ini," kata Record.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Malaysia terus berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2024.

"Pendapatan negara kasar (GNI) per kapita Malaysia berjumlah AS$10,460 pada 2018, AS$1,915 di bawah had AS$12,375 yang ditetapkan oleh Bank Dunia dalam menentukan status negara berpendapatan tinggi," kata Record.

Beliau berkata Malaysia boleh mencapai had yang lebih tinggi daripada ang ditetapkan pada satu ketika antara 2021 dan 2024.

"Seiring penyertaan ekonomi Malaysia dan ekonomi berpendapatan tinggi, perhatian harus diberikan kepada aspek-aspek pembangunan dan kesejahteraan masyarakat secara lebih luas seperti kesihatan, pendidikan dan pengagihan kekayaan, yang tidak dicapai secukupnya hasil dari segi peningkatan dalam pendapatan per kapita,” katanya.

Menurut edisi ke-20 Pemantauan Ekonomi Bank Dunia (MEM) yang dilancarkan hari ini, dasar harus ditumoukan kepada usaha untuk meningkatkan daya tahan dan melindungi golongan yang lemah dalam jangka pendek.

Laporan itu menyebut penampan dasar fiskal perlu dibangunkan selain memudahkan pelaburan swasta dan memastikan perlindungan sosial yang mencukupi untuk isi rumah berpendapatan rendah yang mudah terjejas.

"Asas pendapatan kerajaan juga perlu dipeluas menerusi usaha dalam mengembangkan dan meningkatkan sistem perlindungan sosial ke arah kemajuan yang lebih baik secara menyeluruh.

"Langkah yang dirancang kerajaan untuk melaksanakan rangka kerja subsidi bahan bakar bersasar boleh meningkatkan simpanan untuk dilaburkan semula dalam program kebajikan sosial utama," menurut laporan itu. - Bernama