Ahmad Muzakkir harap dapat bantu Kafa

AHMAD MUZAKKIR
AHMAD MUZAKKIR
A
A
A

PENGARAH Urusan UK Ice Blendz, Ahmad Muzakkir Hamid berharap dapat membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk menguruskan The Red Warriors (TRW) selepas ini.

Sejak membuat keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden Kafa bersama lapan calon lain, beliau telah berazam untuk memastikan arena bola sepak Kelantan kembali gemilang sebagaimana sebelumnya.

“Semua orang sayangkan TRW, di setiap negeri mesti ada penyokong TRW. Maka kita perlu kembalikan balik apa yang telah hilang itu. Kita mahu bola sepak Kelantan kembali pada landasan yang betul.

“Penuhkan stadium, kembali bersaing bersama pasukan-pasukan gah yang lain dan menjuarai setiap perlawanan. Itulah harapan besar kita, selain menjaga kebajikan pemain dengan baik.

“Saya harap kepimpinan baharu nanti diberikan kepercayaan sepenuhnya dan melaksanakan tugas sebaik mungkin. Sebagai salah seorang calon, saya juga bersedia untuk menggalas tugas bersama demi pasukan TRW,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Ahmad Muzakkir, 43, yang juga usahawan dari Kelantan itu telah mengesahkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden Kafa setelah namanya dicalonkan untuk membarisi kepimpinan tersebut.

Graduan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu mempunyai kemahiran dan pengalaman yang meluas dalam pembangunan sukan khususnya bola sepak Kelantan.

Mempunyai hubungan rapat dengan rangkaian usahawan dan tokoh-tokoh perniagaan membuka ruang kepadanya membantu Kafa untuk sebarang kerjasama mahupun penajaan selepas ini.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, jawatan ini merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu saya galas dan kepercayaan yang diberikan akan digunakan sebaik mungkin untuk masa depan pasukan.

“Ia merupakan amanah besar untuk saya galas, apatah lagi kedudukan Kafa pada hari ini.

"Saya akan bekerja dalam satu pasukan untuk memastikan Kafa berada di kedudukan terbaik, InsyaALLAH,” katanya.