Vivian Wong angkat sumpah sebagai MP Sandakan

Vivian Wong Shir Yee mengangkat sumpah di Dewan Rakyat hari ini. -Foto Sinar Harian Sharifuddin Abdul Rahim
Vivian Wong Shir Yee mengangkat sumpah di Dewan Rakyat hari ini. -Foto Sinar Harian Sharifuddin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Vivian Wong Shir Yee, sah menjadi Ahli Parlimen Sandakan selepas mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, hari ini.

Vivian Wong mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, jam 10.05 pagi tadi.

Upacara angkat sumpah itu yang mendahului urusan Dewan Rakyat hari ini, turut disaksikan barisan anggota Kabinet dan ahli Parlimen lain daripada pihak kerajaan dan pembangkang.

Selepas Vivian Wong mengangkat sumpah, Mohamad Ariff mengucapkan tahniah kepada beliau, khususnya atas kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada Mei lalu.

"Saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat setelah memenangi PRK Sandakan pada 11 Mei yang lalu, saya berharap agar Yang Berhormat dapat teruskan kesinambungan jasa mendiang ayah," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Vivian Wong, menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan dengan majoriti 11, 521 selepas memperoleh 16,012 undi bagi menewaskan calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin (4,491 undi).

Pertandingan lima penjuru itu turut menyaksikan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah ) Sabah, Hamzah Abdullah mendapat 788 undi; bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan, Sulaiman Abdul Samat (126 undi) dan ahli perniagaan, Chia Siew Yung (178 undi), sekali gus hilang wang pertaruhan.

Kemenangan Vivian Wong mempertahankan kerusi disandang sejak dua penggal lalu oleh bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas bermula hari ini sehingga 18 Julai 2019.