Pesara guru ditipu RM197,000

Annuar
Annuar
A
A
A

PENDANG - Seorang pesara guru berusia 58 tahun kerugian RM197,000 selepas diperdaya seorang individu yang menyamar sebagai warganegara Ukraine.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Annuar Amri Abd Muluf berkata, perkenalan melalui Facebook pada Februari lalu pada asalnya bertujuan menjadikan mangsa sebagai kakak angkatnya.

Katanya, suspek dikatakan memberitahu mangsa bahawa dia bekerja di Sabah untuk satu projek Gas Petronas.

"Dalam kejadian pada 10 April lalu, wanita berkenaan telah menerima panggilan dari kenalan Facebook itu. Kenalannya itu mendakwa telah ditahan oleh pihak kastam atas kesalahan membawa wang tunai AS$ yang melebihi had.

"Mangsa juga turut dihubungi oleh seorang wanita yang mengaku dirinya sebagai pegawai kastam," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Annuar, wanita yang menyamar sebagai pegawai kastam memberitahu mangsa bahawa kenalannya akan ditahan atas kesalahan membawa masuk wang AS$ melebihi had.

"Mangsa juga diminta untuk membayar sebanyak RM77,000 bagi tujuan membebaskan kenalannya. Mangsa telah membuat transaksi wang yang diminta ke akaun bank milik seorang wanita Melayu," katanya.

Tambah Annuar, selepas dibebaskan oleh pihak Kastam, kenalan Facebook mangsa berjanji akan membayar semula wang mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Beliau juga turut meminta mangsa meminjamkan akaun bank bagi tujuan memasukkan wang berjumlah RM2 juta untuk tujuan perniagaan di Malaysia.

"Seterusnya mangsa telah mendapat panggilan telefon dari seseorang yang mengaku pegawai bank dari Pulau Pinang memberitahu terdapat transaksi wang hendak dibuat ke akaun bank mangsa.

"Mangsa kemudian dihubungi oleh kenalan Facebook tersebut meminta mangsa membayar cukai antarabangsa berjumlah RM40,000 ke akaun bank syarikat," jelasnya.

Menurut Annuar, selepas itu pegawai bank tersebut memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan rumah dan mengarahkan mangsa membuat bayaran RM75,000 ke akaun bank individu yang lain sebelum wang RM2 juta tersebut dapat dipindahkan ke akaun mangsa.

"Mangsa telah membuat pembayaran seperti yang diarahkan oleh pegawai bank tersebut namun pegawai bank itu memberitahu bahawa tempoh pembayaran telah tamat tempoh menyebabkan wang RM2 juta tidak dapat dikreditkan ke akaun mangsa serta perlu diserahkan kepada Bank Barclays International Kuala Lumpur.

"Wanita berkenaan kemudian dihubungi oleh seseorang yang mengaku pegawai Bank Barclays International dan meminta beliau membayar cukai RM5,000 ke dalam satu akaun wanita Melayu jika mahu mendapatkan semula wang RM2 juta itu, " jelasnya.

Annuar berkata, mangsa telah memasukkan jumlah wang yang diminta tersebut secara berperingkat sebanyak empat kali transaksi melalui perkhidmatan kaunter ke akaun bank yang berkenaan.

"Namun begitu, mangsa menyedari telah ditipu selepas anak beliau mendapat tahu beliau telah mengeluarkan kesemua wang simpanan pesara.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis pada 29 Jun lalu dan beliau ini dipercayai telah diperdaya oleh sindiket Parcel Scam yang didalangi oleh warga Afrika," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihak polis turut menasihatkan orang awam agar jangan mudah terpedaya dengan sindiket penipuan ini yang menyasarkan golongan warga emas terutama pesara yang telah menyebabkan kerugian ratusan ribu ringgit.

"Jangan memberi sebarang respon terhadap sebarang bentuk permintaan wang tidak kira dalam keadaan bagaimana terdesak sekalipun.

"Jangan sekali-kali memasukkan wang ke dalam akaun individu yang tidak dikenali, terutama mereka yang tidak pernah berjumpa dengan anda," katanya.

Tambah Annuar, dalam tempoh Januari hingga Jun 2019, sebanyak 35 kes penipuan melibatkan sindiket penipuan yang menggunakan modus operandi ini dilaporkan di Kedah dengan jumlah kerugian dilaporkan melebihi RM725,921.