Pelan jangka panjang atasi isu pencemaran di Pasir Gudang

Dr Wan Azizah menandatangani plak lawatan ke Taska Tempat Kerja Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) sempena Majlis Penutup Program Khalifah Junior 2019 hari ini. - FOTO BERNAMA
Dr Wan Azizah menandatangani plak lawatan ke Taska Tempat Kerja Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) sempena Majlis Penutup Program Khalifah Junior 2019 hari ini. - FOTO BERNAMA
A
A
A

BANGI - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu pelan jangka panjang dirangka, bagi menjamin penyelesaian menyeluruh masalah pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor.

Katanya pelan penyelesaian jangka panjang itu penting, supaya insiden sama yang memberi kesan buruk kepada kesihatan penduduk setempat, tidak berulang di masa akan datang.

"Selepas insiden itu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengambil dan melaksanakan beberapa langkah jangka pendek, termasuk akan membina stesen pencerapan gas automatik di kawasan tersebut.

"Ini baik kerana dapat memberi amaran selepas bahan toksik yang dilepaskan ke udara melepasi tahap kritikal, yang membolehkan tindakan segera dapat diambil, termasuk memindahkan penduduk," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Khalifah Junior 2019, Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini hari ini.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu masih tidak mampu memberi penyelesaian menyeluruh dalam jangka panjang, kerana kedudukan kilang yang berpusat dan berada di dalam persekitaran kawasan kediaman. Dr Wan Azizah berkata kerajaan dan pihak yang berkenaan perlu memikirkan langkah menempatkan semula penduduk, dengan mengambil kira titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau juga mahu faktor penjanaan ekonomi daripada industri perkilangan, turut diberi perhatian dalam merangka pelan jangka panjang tersebut.

"Mengenai kilang, kita perlu fikirkan berkenaan ekonomi dan bagaimana ia dapat membantu dan diuruskan dengan sewajarnya," katanya.

Insiden pembuangan bahan kimia dan pencemaran udara yang melanda Pasir Gudang mengundang rasa kesal Sultan Ibrahim, yang kemudiannya menitahkan semua pihak berkuasa kerajaan mengambil langkah segera mengatasinya, termasuk menangkap dan menghukum pelakunya. -Bernama

Artikel Berkaitan: