Perhebat kempen Tahun Melawat Johor 2020

No Image Caption
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor melalui Tourism Johor kini sedang mempergiatkan lagi usaha menambahbaik persediaan dari segi fizikal dan rangka promosi dalam usaha memperhebatkan kempen Tahun Melawat Johor 2020.

Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, Tourism Johor merancang memperkenalkan 20 acara bertaraf domestik dan antarabangsa serta 20 destinasi terpilih dengan adanya produk pelancongan yang unik serta berpotensi di seluruh daerah Johor.

“Ianya sebagai simbolik sambutan Tahun Melawat Johor 2020. Sebanyak 20 acara yang terpilih merupakan acara sedia ada yang tersenarai dalam kalendar pelancongan Johor termasuk acara sukan, festival makanan, perayaan, budaya dan pendidikan selain memperkenalkan acara baharu.

“Tourism Johor amat komited untuk mempromosikan cadangan penyenaraian memperkenalkan 20 acara terpilih yang berpotensi diketengahkan dan mempunyai prospek yang memenuhi permintaan pasaran antarabangsa antaranya Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang, Kembara Mahkota Johor, Festival Chingay, Johor International Rally, Karnival Jambatan Sultan Ismail, Festival Makanan Johor, Johor Arts Festival dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-14 di Kota Iskandar di sini hari.

Cai Tung (PH-Johor Jaya) berkata, dengan penglibatan bersama Yayasan Warisan Johor, acara sambutan meraikan kedatangan pelancong akan dibuat di pintu-pintu masuk yang terpilih.

Katanya, sebagai tambahan, Johor turut akan menjadi tumpuan sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 pada tahun depan.

“Bagi menyokong menjayakan pelaksanaan Tahun Melawat Johor 2020, kerjasama erat yang berterusan daripada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, agensi swasta serta penggiat industri pelancongan Johor akan menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan terunggul di persada antarabangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, beberapa inisiatif dan pelan tindakan juga telah dirangka untuk mempromosikan Tahun Melawat Johor 2020 dan memposisikan Johor sebagai lokasi pilihan pelancongan.

“Program roadshow di setiap daerah, beberapa negeri dan negara Asean terpilih; memperkasa aspek software merangkumi hebahan promosi dan publisiti melalui media; aspek hardware iaitu menambah baik dan memperkasakan aspek-aspek berkaitan pembangunan produk, infrastruktur, kemudahan sokongan pelancongan dan pengurusan destinasi; penganjuran festival, acara dan ekspo bertaraf nasional dan antarabangsa; mengatur siri lawatan fam-trip serta memperhebatkan pengiklanan,” katanya.