Nahas: Kereta gagal potong kenderaan lain

Anggota bomba ketika cuba mengeluarkan mangsa daripada kenderaannya, di sini semalam.
Anggota bomba ketika cuba mengeluarkan mangsa daripada kenderaannya, di sini semalam.
A
A
A

SEGAMAT- [DIKEMASKINI] Seorang wanita maut manakala anaknya parah selepas kereta yang dipandu merempuh sebuah lori dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian jam 4.15 petang semalam, kemalangan berpunca apabila pemandu kereta, Chong Kah Ling, 34, gagal memotong kenderaan lain di KM12 Jalan Segamat-Kuantan di sini.

“Akibat perlanggaran itu, kereta mangsa telah diseret beberapa meter oleh lori dan menyebabkan mangsa tersepit. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala, penumpang hadapan iaitu anak mangsa kini mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dirawat di Zon Kuning Hospital Segamat,” katanya.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan daripada arah Segamat menghala ke Kuantan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di KM12 Jalan Segamat - Kuantan, mangsa cuba memotong kenderaan yang berada di hadapannya dan masuk ke laluan bertentangan.

“Disebabkan jarak terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak dan telah melanggar bahagian hadapan lori.

“Pemandu lori berusia 37 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat Sek 41(1) APJ 1987,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, Pegawai Bomba Kanan II, Mansor Mohamad berkata, pihaknya mengambil masa 30 minit bagi mengeluarkan pemandu yang tersepit.

“Seramai sembilan anggota dengan dua buah jentera dari BBP Segamat dan BBP Bandar Baru Segamat dikejarkan ke lokasi kejadian. Operasi tamat jam 6.35 petang,” katanya.