TNB peroleh kelulusan kerajaan teruskan ICPT

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan, menerusi surat daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), memberi keluiusan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk meneruskan pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Julai, 2019 hingga 31 Dis, 2019.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata, bagaimanapun, tarif asas purata semasa akan kekal tidak berubah pada 39.45 sen per kilowatt jam (kWh) walaupun tanggungan kos bahan api dan penjanaan adalah lebih tinggi bagi tempoh 1 Jan, 2019 hingga 30 Jun, 2019.

Syarikat utiliti utama itu berkata kos tambahan atau kos tidak seimbang tersebut berjumlah RM1.592 billion, disebabkan terutama peningkatan harga arang batu purata kepada AS$99.235/tan, berbanding unjuran harga arang batu yang ditetapkan dalam tarif asas bagi Tempoh Kawal Selia Kedua (RP2) mulai 2018 hingga 2020 pada AS$75/tan, selain permintaan elektrik lebih tinggi.

Bagi mengurangkan kesan tambahan kos bahan api dan penjanaan sepanjang tempoh berkenaan, TNB berkata kerajaan telah meluluskan penggunaan Kumpulan Wang Industri Elektrik berjumlah RM107 juta.

Kerajaan juga meluluskan pelarasan perolehan TNB berdasarkan mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif berjumlah RM336.7 juta, yang dipersetujui semasa penetapan tarif asas dalam RP2 mengikut rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif.

Justeru itu, TNB berkata baki kos tidak seimbang akan dilepaskan menerusi mekanisme ICPT berjumlah RM1.148 bilion.

Syarikat itu berkata tiada caj tambahan akan dikenakan ke atas pelanggan domestik manakala caj tambahan ICPT bagi pelanggan bukan domestik akan dikekalkan pada 2.55 sen/kWh bagi tempoh 1 Julai, 2019 hingga 31 Dis, 2019.

ICPT merupakan mekanisme yang diluluskan kerajaan dan dilaksanakan oleh ST sejak 1 Januari 2014, sebagai sebahagian pembaharuan kawal selia lebih luas iaitu Kawal Selia Berasaskan Insentif.

Artikel Berkaitan:

Mekanisme ini membolehkan TNB menunjukkan perubahan kos bahan api dan penjanaan dalam tarif elektrik pengguna pada setiap enam bulan. - Bernama