Optimis laksana sistem subsidi petrol bersasar tahun ini

Datuk Seri Saifuddin Nasution bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Silaturrahim Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang hari ini. Foto: Bernama
Datuk Seri Saifuddin Nasution bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Silaturrahim Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Kerajaan optimis sistem subsidi petrol secara bersasar terutama kepada golongan berpendapatan rendah atau B40 dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini kementeriannya dan Kementerian Kewangan telah menyiapkan memo bersama berhubung kajian mengenai pelaksanaan sistem itu untuk dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri dalam masa terdekat.

"Di peringkat dua kementerian itu, kami telah menemui satu kaedah pelaksanaan yang kami fikir munasabah. Kalaupun tidak sempurna sepenuhnya tapi proses untuk mencari kesempurnaan dari segi pelaksanaannya itu akan kita capai as we go along," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Pejabat KPDNHEP Pulau Pinang di sini, hari ini.

Rakyat Malaysia dianggar menggunakan kira-kira 1.2 bilion liter petrol sebulan dengan 90 peratus daripadanya ialah RON95 bersubsidi, manakala selebihnya RON97.

Pada Februari lepas, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 dihadkan pada kadar RM2.08 untuk semua pengguna tanpa mengira kenaikan harga minyak global.

Saifuddin Nasution berkata, beberapa perkara perlu diambil kira bagi memastikan pelaksanaan sistem itu kelak tidak mendatangkan keresahan dan kesusahan kepada orang ramai. Antara perkara penting yang diambil kira ialah unjuran kedudukan harga minyak dunia, masa pelaksanaan, data penerima dan kesediaan syarikat minyak untuk membekalkan minyak yang mencukupi.

"Kalau kedudukan harga minyak dunia stabil bila kami guna pakai kaedah penentuan harga jadi ia akan memberikan kami satu petunjuk bahawa apakah dari segi timingnya tepat... ia tidak akan menjejaskan dari segi kiraan harga. Memahami tentang forecast harga minyak.

"Bagi data penerima pula kita nak gunapakai data apa. Memastikan tidak ada nama-nama orang yang layak tercicir. Jika tercicir apakah kita ada mekanisme untuk daftarkan mereka segera. Ini antara perkara penting yang kita ambil kira supaya tidak menimbulkan keresahan sebelum dan selepas pelaksanaannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selepas mendapat pandangan dan persetujuan oleh jemaah menteri tarikh pelaksanaan sistem itu akan diumumkan kepada rakyat. - Bernama