X

Kindly register in order to view this article
!

Maloney ganti Hodak latih skuad B-19

Brad Maloney. - Foto www.theworldgame
A
A

KUALA LUMPUR - Penolong ketua jurulatih skuad negara Bawah 23 Tahun (B-23), Brad Maloney dilantik sebagai ketua jurulatih sementara skuad B-19, berkuat kuasa 1 Julai ini.

Ini berikutan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengisi kekosongan jawatan itu selepas tidak memperbaharui kontrak penyandangnya, Bojan Hodak.

FAM, dalam kenyataan media hari ini, berkata jurulatih dari Australia itu akan memegang jawatan sementara itu sehingga akhir tahun ini dan tugas pertama adalah persiapan bagi menghadapi Kejuaraan B-18 AFF 2019 di Vietnam pada 5 hingga 18 Ogos depan.

Selain itu, Maloney juga dipertanggungjawab untuk membimbing skuad B-19 kebangsaan bagi menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Kemboja pada 2 hingga 10 Nov ini.

Bagaimanapun, FAM menjelaskan Maloney tetap kekal sebagai penolong ketua jurulatih B-23 negara kerana beliau adalah sebahagian daripada tenaga yang membantu skuad negara di Sukan Asia 2018 dan Kejuaraan B-23 AFC 2018, serta Sukan SEA 2017.

Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo berkata, Maloney adalah calon ideal untuk mengisi jawatan itu kerana beliau sudah biasa dengan cara bola sepak di Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingan berkata Maloney telah membuktikan dirinya sebagai penolong jurulatih yang berwibawa dan tiba masa untuknya memimpin pasukan B-19.

Untuk rekod, skuad B-19 kebangsaan bergelar juara Kejuaraan B-19 AFF tahun lepas dan berjaya layak ke Kejuaraan B-19 AFC 2018, namun gagal melepasi saingan peringkat kumpulan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!