Kekalkan momentum berdepan The Fighters

Semangat berpasukan yang tinggi dituntut dari semua pemain Kedah untuk berdepan Felda United di laman lawan pada Ahad ini. FOTO AHMAD ZAKI OSMAN
Semangat berpasukan yang tinggi dituntut dari semua pemain Kedah untuk berdepan Felda United di laman lawan pada Ahad ini. FOTO AHMAD ZAKI OSMAN
A
A
A

ALOR SETAR - Lang Merah diharapkan mampu terbang tinggi pada aksi separuh akhir kedua Piala FA 2019 bertemu Felda United di Stadium Tunku Abdul Razak pada Ahad ini.

Naib Presiden II Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Khamal Idris Ali berkata, motivasi pasukan utama itu dilihat berada tahap meyakinkan walaupun perlu melalui jadual perlawanan padat sepanjang Jun.

Menurutnya, berada pada kedudukan ketiga Liga Super 2019 selepas 18 perlawanan membuktikan Kedah masih mampu bersaing walaupun mengamalkan perbelanjaan berhemah berbanding beberapa pasukan lain.

"Apabila kemenangan selalu dicapai ia secara langsung dapat meningkatkan motivasi yang kuat dan merangsang untuk positif menghadapi perlawanan-perlawanan seterusnya.

"Kita berharap dengan motivasi ini akan membantu Kedah meraih kemenangan ke atas Felda United pada Ahad ini di separuh akhir kedua Piala FA 2019 dalam usaha melayakkan diri ke peringkat akhir,"katanya semasa menjadi tetamu jemputan dalam segmen pulun Kedah Pulun di Radio Kedah FM, semalam.

Kedah membawa bekalan satu gol ke Jengka selepas menang 1-0 ke atas The Fighters pada aksi pertama Piala FA 2019 di Stadium Darul Aman pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, bekas pemain Kedah yang beraksi pada 80 dan 90 an itu berkata, beliau mahu melihat bola sepak di negeri ini terus berkembang walaupun tidak setanding dengan JDT yang mengeluarkan perbelanjaan yang besar.

"Begitu besar jumlah perbezaan perbelanjaan di antara kedua pasukan ini namun dengan bakat dan program di peringkat akar umbi yang telah dilakukan menyaksikan Kedah mampu menyamai pasukan tersebut dalam melahirkan bakat atau 'ubi-ubi' berkualiti,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penanda aras bola sepak di Malaysia pada hari ini pada pandangan penyokong adalah JDT namun Kedah cuba menyaingi dengan melahirkan pemain-pemain berkualiti dengan program yang telah diaturkan.