Gas nitrogen bocor, pemandu lori alami muntah-muntah

Pihak bomba melakukan pemantauan risiko dan bahan bahaya di lokasi kejadian.
Pihak bomba melakukan pemantauan risiko dan bahan bahaya di lokasi kejadian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menerima panggilan kecemasan mengenai kebocoran bahan kimia jenis nitrogen berhampiran Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah di sini semalam.

Panggilan tersebut diterima Pusat Gerakan Operasi Johor menerusi talian MERS 999 sekitar jam 6.10 petang.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Kamal Saari berkata, pihak bomba segera menghantar jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.

"Setibanya jentera di lokasi kejadian, dipercayai terdapat kebocoran bahan kimia jenis nitrogen (UN 1977) di bahagian pam lori dan terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori telah disyaki terhidu gas berdasarkan keadaan mangsa yang muntah-muntah serta merah di bahagian mata dan muka," katanya di sini hari ini.

Mohd Kamal berkata, mangsa berusia 31 tahun warga tempatan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

Katanya, pihak Unit Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah hadir ke lokasi dan melakukan pemantauan risiko dan bahan bahaya di lori tersebut.

"Pihak Hazmat mengesahkan tiada bahan berbahaya yang bocor.

"Pihak Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Sultan Abu Bakar telah diberikan pelepasan untuk meneruskan urusan seperti biasa," katanya.

Artikel Berkaitan: