Pembunuh Khashoggi masih cetus tanda tanya

Mayat Khashoggi masih tidak ditemukan hingga kini. Gambar kecil: Agnes Callamard
Mayat Khashoggi masih tidak ditemukan hingga kini. Gambar kecil: Agnes Callamard
A
A
A

NEW YORK - Pelapor Khas PBB mendakwa siasatan ke atas pembunuhan wartawan terkenal Arab Saudi, Jamal Khashoggi di Konsulat Riyadh di Istanbul pada 2 Oktober lalu gagal untuk membongkar siapa yang mengarahkan tindakan itu selain mengabaikan suspek utama.

Semalam, Agnes Callamard memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia PBB siasatan menyeluruh tentang pembunuhan kejam yang dirancang itu perlu dijalankan selepas beliau menamakan beberapa individu berpengaruh di Arab Saudi.

“Penyiasatan hak asasi manusia itu telah menemukan bukti yang boleh dipercayai dan menjamin siasatan lanjut ke atas individu berpengaruh di Riyadh.

“Siasatan dilakukan pihak berkuasa di negara itu gagal untuk mengenal pasti suspek utama walaupun pihak pendakwa telah menamakan penasihat kanan Putera Mahkota Arab Saudi, Saud al-Qahtani sebagai dalang di sebalik pembunuhan kejam tersebut yang turut melibatkan 15 warga Arab Saudi.

“Sudah tiba masanya untuk bertindak sekarang,” tegasnya yang menerbitkan laporan setebal 100 muka surat mengaitkan pembunuhan Khashoggi dengan pihak berkuasa tertinggi di Riyadh.

Callamard turut menyuarakan rasa kesal terhadap PBB kerana tidak memainkan peranan menyiasat kes tersebut.

Menurutnya, tindakan agensi antarabangsa tersebut berdiam diri dan kekurangan langkah telah merugikan PBB dan dunia.

Sementara itu, Duta Arab Saudi ke PBB, Abdulaziz al-Wasil menegaskan ia akan menolak sebarang cubaan yang mahu menyiasat pembunuhan Khashoggi di luar bidang kuasa kehakiman mereka. - Agensi

Artikel Berkaitan: