38 kilang di Pasir Gudang digempur

Khuzzan (dua,kanan) pada sidang media, hari ini.
Khuzzan (dua,kanan) pada sidang media, hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Sebanyak 38 kilang di sekitar Pasir Gudang telah dikenakan kompaun, menerima notis arahan serta perintah tahan operasi, hari ini.

Exco Kesihatan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, kilang-kilang tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk berkaitan buangan terjadual.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah ambil tindakan penjejakan dan penyiasatan kepada 38 premis industri bagi kesalahan-kesalahan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling.

"Tindakan tegas telah diambil dengan 27 kompaun dikeluarkan untuk buangan terjadual, 10 kompaun untuk kesalahan berkaitan efluen perindustrian, tiga notis arahan dan tiga perintah tahan operasi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja penguatkuasaan terhadap kilang-kilang yang telah dikenalpasti juga sedang dijalankan oleh JAS bagi memastikan kilang-kilang tersebut mematuhi undang-undang.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis masih menjalankan sekatan jalan raya selama 24 di lokasi-lokasi yang dikenalpasti sebagai akses utama keluar dan masuk ke Pasir Gudang.

Mengulas soal keadaan mangsa yang masih dirawat, Mohd Khuzzan berkata, hanya empat lagi pelajar yang masih menerima rawatan di hospital sehingga hari ini.

"Empat sahaja lagi yang masih di hospital dan dalam keadaan stabil.

Artikel Berkaitan:

"Semua prosedur berkaitan ujian klinikal sudah dijalankan," katanya.

Beliau turut mengesahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui Unit Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah menjalankan pengesanan pencemaran secara berkala dan mendapati kualiti udara di Pasir Gudang pada tahap baik.

Katanya, urusan berkaitan pembukaan semula sekolah atau lanjutan penutupan sekolah di Pasir Gudang akan dimaklumkan Sabtu nanti.