Lelaki dibunuh terlentang di tepi jalan

Lelaki ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan dibunuh di Jalan Bukit Selambau-Jeniang.
Lelaki ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan dibunuh di Jalan Bukit Selambau-Jeniang.
A
A
A

BUKIT SELAMBAU - Seorang lelaki ditemukan dengan kesan tusukan dan dipukul sebelum mayatnya dibuang di tepi jalan dekat batu 37 Jalan Bukit Selambau-Jeniang kira-kira jam 7.05 pagi tadi.

Seorang pengguna yang melalui laluan berkenaan terkejut apabila ternampak mangsa berusia awal 30-an dalam keadaan terlentang.

Wanita berkenaan kemudian memaklumkan kepada pengawal keselamatan ladang kelapa sawit sebelum laporan polis dibuat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis percaya mangsa dipukul di satu lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di tepi jalan.

Menurutnya, mangsa ditemukan dengan kesan kecederaan di dahi kanan dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul selain bahagian tengkorak pecah.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat satu tusukan di bahagian bawah mata kiri selain sedikit kecederaan di bahagian tangan kiri akibat tusukan berkemungkinan menggunakan sejenis objek," katanya.

Menurut Adzli, pihaknya percaya, mangsa dibunuh sekitar subuh tadi ataupun diserang ketika sedang tidur berdasarkan pakaian mangsa yang hanya berseluar pendek tanpa berbaju.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan tusukan dan tengkorak pecah.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan tusukan dan tengkorak pecah.

"Mungkin suspek datang semasa mangsa tidur dan sempat melawan berdasarkan kesan luka di lengan.

"Kita juga mengenal pasti, mangsa mempunyai kesan tatu di bahagian lengan kiri selain kedua-dua belah telinga bertindik," katanya.

Adzli berkata, polis sudah mengesan maklumat sekiranya mangsa adalah pekerja ladang berhampiran, namun dinafikan tujuh pemilik ladang berdekatan.

Pemeriksaan lanjut juga dilakukan sekiranya mangsa seorang pekerja dari mana-mana majikan termasuk mengesan kehilangan pekerja dari daerah bersebelahan termasuk Sik, Baling dan Yan.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, segera memaklumkan kepada polis dengan segera.

Pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan pergelutan mahupun penemuan senjata.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian serta memohon bantuan anjing pengesan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.