Azih Muda umum tanding Naib Presiden Angkasa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda hari ini mengumumkan bertanding jawatan Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) pada Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa ke-34, Sabtu ini.

Beliau yang bakal menamatkan perkhidmatan dengan Cuepacs pada 16 Disember ini berkata, keputusannya menawarkan diri bertanding jawatan itu bagi membantu kepimpinan Angkasa dan meneruskan pembelaan terhadap kebajikan penjawat awam dan pesara kerajaan.

Katanya gerakan koperasi dan Angkasa khususnya sangat dekat dengan penjawat awam dan beliau akan menggunakan sepenuhnya pengalaman bersama Cuepacs bagi menyuburkan lagi gerakan koperasi dan menjadi penghubung antara Angkasa dengan penjawat awam dan kerajaan.

“Selama ini, kita mendengar pelbagai rungutan daripada penjawat awam, ada kes seleweng gaji, ada hutang terpaksa ditanggung penjawat awam.

“Oleh itu, kalau saya berada dalam Angkasa, saya boleh melihat mengenai soal kebajikan penjawat awam ini. Kita tidak mahu membiarkan satu pihak sahaja mendapat untung manakala satu pihak lagi tertekan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Azih yang juga Pengerusi Koperasi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Bhd (Kosmat) dan Pengerusi Koperasi Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia Bhd (Kospeta) berkata beliau akan terus mempertahankan kemudahan Potongan Biro Perkhidmatan Angkasa (BPA) seperti diperjuangkan Cuepacs untuk kebajikan penjawat awam.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang penglibatannya menerajui Kosmat dan Kospeta, beliau berjaya menjadikan kedua-dua koperasi tersebut tersenarai antara 100 koperasi terbaik di negara ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: