Pas kini sandaran kuasa Islamis

A
A

KURANG beberapa hari selepas syahidnya Dr Mohammed Mursi di Mesir, gerakan Islamis dikejutkan pula dengan berita kekalahan calon parti pimpinan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam pilihan raya semula kerajaan tempatan Istanbul yang berlangsung pada Ahad, 23 Jun baru-baru ini.

Bulan lalu, calon yang didukung partai Islamis di Indonesia iaitu Prabowo Subianto pula tewas dalam Pemilihan Umum Indonesia. Keadaan sebaliknya berlaku di Malaysia – Pas yang baru sahaja selesai mengadakan pemilihan dalam Muktamar Pas Pusat ke-65 di Pahang kini tampil dengan visi dan barisan kepimpinan yang tambah meyakinkan susulan kejayaan menawan dua negeri dalam PRU14 pada tahun lalu.

Bagaimanakah prospek Pas dalam suasana perkembangan gerakan Islamis yang semakin mencabar di pentas global saat ini?

Berbeza dengan nasib gerakan Ikhwanul Muslimin yang telah diharamkan di Mesir di bawah rejim al-Sisi, parti pro-Islamis AKP pimpinan Erdogan masih menguasai kerajaan pusat Turki. Namun begitu, trend pengundian saban waktu semakin kurang berpihak kepada AKP dan Erdogan. Kemenangan calon pembangkang, Ekrem Imamoglu yang mewakili Parti Rakyat Republikan (CHP) dalam pilihan raya tempatan Istanbul baru-baru ini – mengalahkan bekas Perdana Menteri Turki, Binali Yildrim yang mewakili Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Parti) – dengan undi yang lebih besar turut bermakna pembangkang CHP kini menguasai bandar-bandar besar di Turki iaitu Istanbul, Ankara, Adana, Antalya dan Hatay.

Di Indonesia pula, Prabowo yang disokong gerakan Islamis tewas dengan undi yang lebih besar berbanding keputusan Pemilu Presiden 2014. Jokowi diumumkan menerima sebanyak 85.6 juta undi (55.5 peratus) manakala Prabowo pula menerima 68.6 juta undi (44.5 peratus). Jokowi menang di 21 Provinsi manakala Prabowo pula menang di 13 Provinsi.

Kukuh

Sebaliknya, perkembangan semasa menyaksikan Pas – iaitu parti Islamis terbesar di Malaysia – berada dalam keadaan yang bertambah kukuh. Susulan kejayaan Pas mengekalkan penguasaannya di Kelantan dan menawan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu, Muktamar Pas Pusat yang baru berakhir menyaksikan beberapa perubahan tampuk kepimpinan Sesi 2019-2021 yang menjanjikan prospek positif.

Dua ucapan yang paling menarik perhatian sepanjang Muktamar kali ini ialah Ucapan Dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan tema Muktamar iaitu ‘Islam Memimpin Perpaduan’ serta Ucaptama Ketua Pemuda Pas oleh Muhammad Khalil Abdul Hadi yang bertajuk ‘Demi Islam’.

Kedua-dua ucapan itu bukan sahaja menggariskan hala tuju Pas sebagai sebuah parti politik Islam yang berkecimpung dalam politik pilihan raya di Malaysia sahaja, sebaliknya juga sebagai jemaah Islamis yang signifikan di pentas antarabangsa. Pastinya, isu yang paling dinantikan tentulah berkenaan status kerjasama Pas dengan UMNO yang kini hebat ditekan. Namun Ucapan Dasar Presiden Pas sebagai contoh, bukan sahaja menyentuh mengenai ‘Islam Memimpin Penyatuan Ummah’, tetapi juga berkenaan ‘Kestabilan Geopolitik Dunia’.

Ucaptama Muhammad Khalil pula jelas menyoroti nasib Islam di persada antarabangsa dengan komprehensif. Situasi semasa umat Islam di Gaza, Xinjiang, Syria, Yaman, Libya, Iraq, pertembungan Arab Saudi-Iran, hinggalah ke pembelaan umat Islam Rohingya dan analisis cabaran umat Islam di Malaysia semuanya dikupas dengan efektif.

Dari segi barisan kepimpinan pula, selain daripada pemilihan 18 orang Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, dua posisi yang paling mencuri perhatian tentulah Naib Presiden dan Ketua Pemuda. Hasilnya, kombinasi ulama dan profesional sekali lagi menjadi pilihan para perwakilan Pas. Bergandingan dengan Datuk Mohd Amar Abdullah dan Idris Ahmad sebagai Naib Presiden Pas yang baharu ialah Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar – seorang jurutera aeroangkasa tersohor yang pernah mengetuai jabatan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Posisi Muhammad Khalil – yang memperoleh undi tertinggi sebagai AJK Pas Pusat yang baharu – kini digalas jurutera muda, iaitu Ir Khairil Nizam Khirudin sebagai Ketua Pemuda Pas yang baharu.

Seeru ‘ala barakatillah.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.