Politik indie anak muda

A
A
A

MINGGU lalu Muktamar Tahunan Pas ke-65 menjadi perhatian semua pihak. Sudah tentulah kerana muktamar itu berjaya menoktahkan kerjasama dan perjanjian politik secara rasmi antara Pas dan UMNO.

Walaupun sebelum ini kerjasama itu berlangsung secara tidak rasmi dan bersifat sementara kerana Pilihan Raya Kecil (PRK), nampaknya selepas ini semua akan berubah sepenuhnya.

Paling mencuri tumpuan sudah tentulah ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas yang dikatakan menghina dan merendahkan kebijaksanaan anak muda.Tidak sedikit yang memberikan reaksi kepada kenyataan itu. Maklum sajalah ia dibuat oleh seseorang yang bertaraf tuan guru apatah lagi ia mempersoalkan tentang kedangkalan ilmu kerana salah ‘mengaji kitab’ oleh anak muda.

Mungkin barangkali beliau masih marah dengan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, maka anak muda menjadi sasaran mudah melepas kekecewaan.

Maklumlah umum mengetahui faktor anak mudalah yang menyumbang kepada tumbangnya Barisan Nasional (BN) daripada terus memerintah.

Tambahan pula, Pas bertanding hampir 160 kerusi dan kalah teruk ketika itu dek kerana menjangkakan pertandingan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada Pas sebagai king maker selepas melihat trend yang berlaku dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebelumnya. Jadi tak perlulah kita memperpanjangkan lagi perbincangan mengapa agaknya Tuan Guru Hadi Awang sanggup bertindak sedemikian.

Memanglah ramai anak muda yang cetek ilmu dan pengalaman untuk memahami permasalahan politik yang kompleks. Tetapi naluri dan firasat politik mereka betul.

Sebagai contoh, apakah kita boleh menyalahkan anak muda hanya kerana memilih untuk mengundi parti politik yang tidak sebangsa dan seagama dengan mereka?

Artikel Berkaitan:

Dan khianatkah mereka kalau menjatuhkan parti yang korup dan rasuah walaupun sama bangsa dan agama dengan mereka? Kalaulah ini boleh dijustifikasikan, maka pertimbangan naluri mereka adalah betul kerana adalah fitrah bagi mana-mana manusia untuk menolak kebatilan dan kerosakan. Jadi pilihan politik mereka bertepatan dengan fitrah itu dan wajar dihormati.

Menyalahkan kedangkalan anak muda dan teknologi semasa barangkali terlalu simplistik untuk dijadikan alasan sepenuhnya. Mana-mana parti politik hari ini harus sedar bahawa isunya bukanlah anak muda ‘dangkal’ politik, tetapi mereka bosan dengan politik kepartian.

Rata-rata anak muda melihat parti-parti politik yang ada hari ini tidak keluar daripada kepompong kepartian yang ‘syok sendiri’ dan terlalu eksklusif.

Sampaikan ada anak muda secara berseloroh mengatakan masuk parti politik hari ini lebih susah daripada masuk kongsi gelap. Akibatnya, mereka menjadi independen (bebas) dan tidak terikat dengan mana-mana parti. Perkara ini dimudahkan pula dengan kecanggihan teknologi yang mempercepatkan proses perkembangan dan membawa kepada politik 'indie’ anak muda yang terbuka, bebas, kritis dan sukar diramal.

Sejak era reformasi sehinggalah tsunami politik hari ini, politik indie anak muda ini makin membesar dan mendapat perhatian. Sifatnya yang sukar diramal dan dikawal berkait rapat dengan dua faktor; pertama perubahan teknologi dalam penyampaian maklumat dan kedua status quo parti politik yang masih terikat dengan kerangka kepartian berbanding politik penyertaan atau political engagement. Kalau dua-dua ini digabungkan, jangan terkejut kalau satu hari nanti kumpulan WhatsApp akan lebih berharga dan berupaya daripada parti politik yang ada kerana sifatnya yang santai, terbuka, mudah disertai dan benar-benar engage dalam perhubungan dan aktivitinya.

Sebab itu anak mudah hari ini lebih selesa dengan politik ‘indie’ yang bebas dan santai kerana rimas dengan politik kepartian yang terikat dengan kerangka parti yang berstruktur, rumit dan kompleks. Lihatlah bagaimana dinamiknya politik anak muda yang bebas dan mampu berubah sekelip mata ketika PRK di Semenyih dan Rantau yang lalu.

Peralihan undi mereka menunjukkan faktor calon dan parti sudah jatuh nombor dua dalam pertimbangan anak muda. Kalau itu masih belum cukup untuk menjadi suara untuk mana-mana parti berubah, maka siap sedialah untuk diubah apabila pilihan raya tiba nanti.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)